
HYUNDAI VELOSTER N ETCR, KERETA LUMBA ELEKTRIK RWD UNTUK ETCR
Tahun 2020 bakal menyaksikan perlumbaan pertama Kejuaraan Kereta Penumpang Elektrik (ETCR) diadakan yang membawa dimensi baharu di dalam dunia automotif.
Jika sebelum ini peminat permotoran disajikan dengan Formula-E, tahun depan giliran kereta penumpang elektrik pula. Di antara syarat menarik siri perlumbaan ini ialah motor elektrik mesti berada di tengah dan menggunakan pacuan belakang.
CUPRA yang merupakan subsidiari model berprestasi SEAT adalah pengeluar pertama yang mengesahkan penyertaan ke dalam ETCR dengan jentera e-Racer bakal dikemudi oleh pelumba terkenal Mattias Ekström.
Terbaru di Pameran Kenderaan Antarabangsa (IAA) Frankfurt, Hyundai Motorsport mempertontonkan Veloster N ETCR yang merupakan kereta lumba elektrik pertama mereka.
Model perlumbaan ini dibina daripada Veloster N jalanan khusus untuk kejuaraan ETCR tahun depan. Ini adalah lembaran baharu buat Hyundai Motorsport selepas terlibat di dalam Kejuaraan Rali Dunia (WRC) dan siri Perlumbaan Kereta Penumpang (TCR).
Perlumbaan kereta elektrik juga bakal menjadi salah satu tonggak divisyen permotoran dan varian berprestasi Hyunda ini.

Kerja-kerja reka bentuk dan pembangunan Veloster N ETCR dibuat di ibu pejabat Hyundai Motor di Alzenau, Jerman menggunakan kepakaran dari penglibatan di dalam TCR.
Untuk TCR, Hyundai Motorsport mempunyai dua model khusus iaitu i30 N TCR dan Veloster N TCR.
Fasa reka bentuk kereta lumba ini bermula pada November 2018 dan ujian shakedown pertama untuk model prototaip siap pada Ogos 2019. Program ujian penuh pula bakal bermula dalam tempoh dua minggu bulan ini.
Hyundai Motorsport akan tampil dengan dua buah Veloster N ETCR untuk musim pertama ETCR tahun depan.
Veloster N ETCR adalah produk terbaru di dalam siri model perlumbaan Hyundai Motorsport iaitu i20 WRC, i20 R5, i30 N TCR dan Veloster N TCR.
Selain itu, segala pembelajaran dalam pembangunan Veloster N ETCR akan turut dikongsikan dengan pusat penyelidikan dan pembangunan global Hyundai di Namyang, Korea Selatan.
BACA: D4HA – ENJIN HEBAT DARI REVOLUSI HYUNDAI & KIA
BACA: HYUNDAI ‘N OPTION’ – HYUNDAI DAH MULA BERMAIN AKSESORI ALA JENAMA JEPUN
BACA: RIWAYAT HIDUP – AKU SEBUAH HYUNDAI SONATA YF