Buletin

ADA RM1.5 JUTA? BOLEH BELI AUDI R8 LMS GT2 DAN BERLUMBA (ATAU TRACK DAY)

Dunia perlumbaan sememangnya dikenali sebagai sukan yang mahal hatta anda terlibat di dalam go kart sekali pun.

Masalahnya walaupun mahal ada sahaja pasukan yang mampu dengan kerjasama penaja.

Masalah kedua pula ialah pasukan kaya raya ini boleh mengubah suai kereta mereka dengan perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan yang tinggi sehingga pasukan lain sukar untuk bersaing.

Untuk mengekang keadaan sebelum tidak terkawal, FIA memperkenalkan pelbagai undang-undang supaya padang menjadi rata.

Ada pasukan tidak menggemarinya namun apa yang penting ialah supaya penonton tidak bosan. Apabila kerap sangat pasukan yang sama berjaya apa seronoknya lagi menonton perlumbaan tersebut.

Oleh itu kita diperkenalkan dengan klasifikasi perlumbaan dan kereta contohnya di dalam perlumbaan rali ada kelas R1 sehingga RGT.

Pelumba dan pasukan yang berminat dan mempunyai bajet tertentu boleh menyertai berdasarkan aturan kelas tersebut.

Di dalam perlumbaan litar yang melibatkan kereta grand touring pula ada kelas LM GTE, GT3 dan GT4. 

Di dalam kelas ini pengeluar mempunyai model spesifikasi lumba yang siap dibeli oleh pelanggan atau terma rasminya dipanggil customer racing programme.

Seperti yang kami laporkan beberapa hari lalu Toyota memperkenalkan Supra GT4 dan pada 2017 Honda NXS GT3 dijual pada harga permulaan RM2.3 juta.

Ini pula tawaran terbaru daripada Audi Sport kepada pelanggan yang mahu berlumba di dalam kategori GT2.

Model Audi R8 LMS GT2 diperkenalkan pada acara Goodwood Festival of Speed pada minggu ini.

Apa yang menarik tentang model ini? Kuasa 640 hp dan menurut Audi Sport ianya model paling berkuasa di dalam 11 tahun sejarah program perlumbaan pelanggan.

Kuasa tersebut dibekalkan oleh enjin 5.2 V10 dan ia sebenarnya lebih tinggi berbanding kelas GT3.

Lagi satu perkara menarik ialah kelas GT2 hanya akan bermula pada tahun 2020 dan ia berada di antara kelas GT3 dan GT4.

Audi Sport memang biasa di dalam perlumbaan litar dan mempunyai model di dalam kelas TCR, GT3 dan GT4.

Menurut Audi lagi, R8 LMS GT2 ini bukan sahaja untuk perlumbaan litar malah juga sesuai digunakan buat hari litar (track day). Di antara sebabnya ialah perlumbaan GT3 sudah menjadi terlalu mahal.

R8 LMS GT2 dibina daripada model produksi R8 dan telah dinaik taraf seperti panel CFRP, penggunaan winglet, suspensi perlumbaan dan sistem pengurusan enjin.

Model ini juga lebih ringan dengan berat kering hanya 1,350 kg iaitu 100 kg kurang berbanding kereta GT4.

Dari luar model ini nampak seperti sebuah ricer tapi jangan cuba untuk mengacahnya. 

Audi R8 LMS GT2 boleh dimiliki oleh pemilik persendirian atau pasukan yang bermakna pada harga EUR 338,000 (RM 1,569,942) termasuk VAT dan boleh dipesan bermula sekarang.

Penghantaran akan bermula pada Disember ini dan boleh digunakan pada musim GT2 2020.

*EUR 1.00 = RM4.64

Google ads
Back to top button