Buletin

NIO FIREFLY EV RHD MASUK PASARAN THAILAND MULAI 2026

Nio terus memacu agenda globalnya apabila model elektrik kompak Firefly EV versi pemanduan sebelah kanan (RHD) disahkan bakal memasuki pasaran United Kingdom dan Thailand pada 2026.

Kemaraan ini menandakan langkah seterusnya jenama dari China itu selepas mengukuhkan kehadiran di Eropah.

Firefly EV pertama kali diperkenalkan di China pada 19 April 2025, ditawarkan antara AS$16,850 – AS$17,700, kira-kira RM79,000 – RM83,000.

Melalui pelan Battery-as-a-Service (BaaS), harga kenderaan dapat dikurangkan kira-kira 30 peratus, turun kepada AS$11,230 (sekitar RM53,000). Dari April hingga Oktober 2025, rekod China EV DataTracker menunjukkan 26,009 unit telah diserahkan kepada pelanggan di China.

Model sama telah pun memasuki pasaran Norway dengan harga permulaan AS$27,500 (RM129,000), manakala harga di Belanda dan Belgium bermula AS$34,950 (RM165,000).

Pada 18 November lalu, Nio memulakan pengeluaran besar-besaran varian RHD, dengan Singapura menjadi destinasi pertama.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Firefly, Daniel Jin, pelancaran di Thailand dan UK dijadualkan pada 2026.

Beliau berkata strategi semasa adalah memberi fokus kepada negara-negara yang tidak mengenakan tarif tinggi terhadap kereta buatan China.

Di Eropah, Firefly EV dikenakan duti import tambahan 31 peratus, menjadikan harganya hampir dua kali ganda berbanding nilai jualan di negara asal.

Selain UK dan Thailand, pasaran RHD lain yang diutamakan termasuk Australia, New Zealand dan beberapa negara Asia Tenggara.

Namun, Jin mengakui bahawa proses membina keyakinan pengguna akan mengambil masa kerana sebahagian pengedar masih melihat Firefly sebagai satu lagi EV “biasa” dari China.

Prestasi jualan Firefly di Norway – hanya 19 unit berdaftar sepanjang 2025 – turut memberi gambaran bahawa jenama ini perlu bekerja keras untuk meningkatkan reputasinya.

Di Singapura pula, Firefly EV RHD akan dipasarkan sebagai kereta kompak premium, dengan harga lebih tinggi daripada BYD Dolphin.

Dari segi reka bentuk, Firefly EV ialah hatchback kecil yang menonjol dengan lampu hadapan bulat, bumbung hitam, pemegang pintu tersembunyi serta bampar pendek.

Ia berukuran 4,003mm panjang, 1,781mm lebar dan 1,557mm tinggi, dengan jarak roda 2,615mm — sekitar 145mm lebih panjang daripada Mini Cooper keluaran Spotlight Automotive.

Kabinnya dilengkapi skrin terapung 13.2-inci, paparan instrumen 6-inci, dan sistem audio 14 pembesar suara.

Di bawah hud, ia dipacu motor elektrik 141hp yang membolehkannya memecut dari 0–100 km/j dalam 8.2 saat.

Bateri 42.1kWh pula menawarkan jarak pemanduan sehingga 330km mengikut standard WLTP.

Google ads
Back to top button