Buletin

KERETA CHINA CATAT REKOD BAHARU DI AUSTRALIA, PINTAS THAILAND SEBAGAI PEMBEKAL NOMBOR DUA

Industri automotif Australia menyaksikan detik bersejarah apabila buat pertama kalinya empat pengeluar kereta dari China berjaya menempatkan diri dalam senarai 10 jenama paling laris untuk sebulan, sekali gus mengatasi Thailand sebagai sumber kedua terbesar kenderaan baharu di negara itu.

Menurut data Federal Chamber of Automotive Industries (FCAI), sebanyak 141,858 unit kereta buatan China telah terjual sepanjang tahun sehingga Ogos 2025, dengan 20,070 unit daripadanya dicatatkan hanya dalam bulan Ogos.

Jika ditambah dengan jenama yang turut dipasang di China seperti Tesla dan Polestar, jumlah keseluruhan mencecah 23,225 unit bagi bulan tersebut, menjadikan angka tahunan kepada 161,479 unit.

China kini berada di belakang Jepun (28,547 unit pada Ogos) tetapi sudah memintas Thailand (20,802 unit) dari segi bekalan kenderaan bulanan.

Namun, dari segi jumlah setakat tahun ini, Thailand (169,522 unit) dan Jepun (246,499 unit) masih kekal mendahului.

Populariti kenderaan dari China melonjak drastik berbanding lima tahun lalu, apabila hanya 15,689 unit dilaporkan terjual sehingga Ogos 2020, bersamaan 2.7 peratus daripada pasaran. Kini, pegangan pasaran itu melonjak kepada 17.5 peratus.

Antara jenama China yang mencuri perhatian pada bulan lalu ialah BYD di tempat keenam (4,877 unit), GWM di tempat kelapan (4,488 unit), MG kesembilan (3,927 unit) dan Chery kesepuluh (3,305 unit) – masing-masing mencatatkan peningkatan antara 10 hingga 204 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Model paling laris ialah MG ZS dengan 2,680 unit, diikuti Chery Tiggo 4 (1,780 unit), GWM Haval Jolion (1,562 unit) dan BYD Sealion 7 (1,413 unit). Turut memberi impak besar ialah Tesla Model Y (2,324 unit) yang dipasang di China.

Kebangkitan ini memberi kesan langsung kepada jenama tradisional dari Jepun dan Eropah. Isuzu Ute, misalnya, jatuh ke tangga ke-11 selepas penurunan 17.9 peratus kepada 3223 unit.

Mazda juga merosot 17.5 peratus, manakala Nissan menjunam 22.7 peratus. Volkswagen turut merekodkan penurunan 5.9 peratus walaupun melancarkan barisan model baharu.

Namun, tidak semua jenama dari China berjaya menembusi kelompok teratas. LDV sekadar berada di tangga ke-19 dengan 1,247 unit, meningkat sedikit 3.1 peratus berbanding tahun lalu, tetapi jumlah keseluruhan tahunan menurun 14.9 peratus kepada 9,700 unit.

Fenomena ini menunjukkan pengaruh kereta buatan China semakin kuat di pasaran global, khususnya di Australia, sekali gus memberi cabaran besar kepada jenama-jenama lama yang sebelum ini mendominasi pasaran.

Google ads
Back to top button