Buletin

NISSAN GIATKAN SIASATAN – KETUA NISSAN CHINA, JOSE MUNOZ LETAK JAWATAN

Ketua Nissan China, Jose Munoz dikatakan telah meletak jawatan berikutan laporan bahawa Nissan kini mempergiatkan siasatan ke atas bekas pengerusinya, Carlos Ghosn.

Siasatan akan memberi perhatian kepada keputusan peniagaan yang dibuat di Amerika Syarikat, India dan Amerika Latin.

Munoz, yang bertindak sebagai Ketua Pegawai Prestasi meletak jawatan berkuatkuasa serta-merta. Beliau sebelum ini melapor terus kepada Ketua Pegawai Eksekutif Nissan, Hiroto Saikawa dan bertanggungjawab ke atas strategi serta prestasi keseluruhan Nissan.

Munoz sememangnya rapat dengan Ghosn yang didakwa terlibat dengan salah laku kewangan. Nissan akan menyiasat keputusan-keputusan yang diambil oleh Munoz ketika mengetuai Nissan Amerika Utara pada tahun 2014 hingga 2018.

Setakat ini, masih belum jelas sama ada Munoz, 53, akan dikenakan sebarang dakwaan atau sebaliknya.

Beliau menyertai Nissan pada tahun 2004 di Eropah dan bertanggungjawab mengambangkan jenama Nissan di sana selepas krisi kewangan global. Sejak itu, Nissan dilihat berjaya meningkatkan penguasaannya di pasaran Amerika.

“Saya berbangga kerana memainkan peranan dalam mencapai pertumbuhan sebanyak 74 peratus di Amerika Syarikat. Selain mendominasi pasaran Mexico, mengembangkan penguasaan di China dan membantu Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi menjadi pengeluar kenderaan terbesar di dunia,” kata Munoz dalam satu pos di laman LinkedIn.

Terdahulu, Nissan melantik Munoz untuk memantau operasinya di China dan mahu meningkatkan jualan di sana dalam tempoh beberapa tahun akan datang. Namun, pasaran automotif terbesar di dunia itu menyaksikan penurunan jualan. Ini memaksa pengeluar kenderaan mengurangkan pengeluaran.

China merupakan pasaran kedua terbesar buat Nissan, menyumbang hampir satu perempat jualan tahunannya. Tahun lalu, ia merancang untuk meningkatkan jualan dan menjadikan China sebagai pasaran terbesar dari segi jualan kenderaan menjelang tahun 2022.

Google ads
Back to top button