
NISSAN LEAF 2026 DIPERKENALKAN – EMPAT VARIAN, JARAK GERAK 463KM, ANGGARAN HARGA RM142K
Selepas lebih sedekad menjadi pelopor dalam dunia mobiliti elektrik, Nissan akhirnya memperkenalkan generasi baharu Leaf dan ia bukan sekadar penambahbaikan kecil.
Diperkenalkan sebagai model tahun 2026, Leaf baharu kini tampil sebagai sebuah crossover elektrik kompak dengan reka bentuk serba moden, kuasa lebih besar, teknologi lebih canggih dan yang paling penting, jarak pemanduan jauh lebih baik.
Leaf 2026 akan ditawarkan dalam empat versi: S, S+, SV+ dan Platinum+. Tiga varian teratas (bermula dari S+ ke atas) hadir dengan motor elektrik berkuasa 214hp dan tork 354Nm, dipadankan dengan bateri lithium-ion 75kWh yang disejukkan cecair.

Varian asas S pula menampilkan motor 174hp dan tork 344Nm, serta bateri lebih kecil berkapasiti 52kWh, namun varian ini hanya akan tiba sekitar musim bunga 2026.
Sementara itu, versi lain dijangka sampai ke pengedar menjelang musim luruh 2025.
Jarak pemanduan menjadi tumpuan utama dalam Leaf baharu. Model S+ kini mampu bergerak sejauh kira-kira 488km dengan satu cas penuh, peningkatan besar berbanding hanya 212 batu pada model 2024.
SV+ pula mampu mencatat sehingga 288 batu (463km), manakala Platinum+ dengan rim 19-inci sedikit kurang pada 259 batu (417km). Varian S masih belum diumumkan jaraknya.


Menyesuaikan dengan landskap pengecasan semasa, Leaf 2026 hadir dengan dua port pengecasan. Satu menggunakan standard NACS (serasi Tesla) dan satu lagi J1772. Pengecasan dari 10% ke 80% hanya mengambil masa sekitar 35 minit.
Untuk iklim sejuk, model SV+ dan Platinum+ dilengkapi pam haba sebagai standard, manakala pemanas bateri ditawarkan sebagai pilihan.
Dari segi dalaman, Leaf menampilkan lantai rata yang memaksimumkan ruang, serta dua skrin 12.3-inci pada varian asas dan dua skrin 14.3-inci pada varian lebih tinggi.
Google Built-In hanya ditawarkan pada model lebih premium, tetapi semua varian mendapat Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar secara standard.


Untuk penggemar audio, Platinum+ hadir dengan sistem bunyi Bose 10-pembesar suara dan paparan head-up.
Kesemua varian dilengkapi teknologi bantuan pemanduan ProPilot Assist, bersama ciri-ciri keselamatan seperti brek kecemasan automatik, amaran pelanggaran hadapan, bantuan lampu tinggi, amaran keluar lorong dan banyak lagi.
Walaupun harga rasmi belum diumumkan, Nissan menyasarkan harga permulaan sekitar AS$30,000 (RM142,000), sedikit lebih tinggi berbanding model 2025.
Namun, Leaf baharu kini bersaiz lebih besar, menjadikannya lebih setanding dengan crossover kompak seperti Hyundai Kona EV.