
TOYOTA LAND CRUISER 300 HEV HADIR DENGAN KUASA 457HP – HARGA BERMULA RM518K
Toyota terus memperkukuh warisan off-road ikoniknya dengan memperkenalkan Land Cruiser 300 Series versi hibrid buat pertama kali.
Menariknya, ini juga merupakan Land Cruiser paling berkuasa pernah dihasilkan. Versi elektrifikasi ini pertama kali dilancarkan di Timur Tengah dan dijangka akan memasuki pasaran lain dalam masa terdekat.
Model ini menggabungkan enjin V6 3.5-liter twin-turbo dengan satu motor elektrik dalam sistem hibrid selari (parallel hybrid), menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 457hp dan 790Nm tork.

Ia menggunakan transmisi automatik 10-kelajuan dan sistem pacuan semua roda. Untuk rekod, angka ini menyamai Lexus LX700h, menjadikannya pilihan paling menarik untuk mereka yang mahukan prestasi serta kecekapan bahan api dalam satu pakej.
Toyota memaklumkan bahawa sistem hibrid ini dibangunkan khusus dengan penekanan terhadap ketahanan dan keupayaan meredah laluan lasak. Motor elektrik membantu memberikan kawalan pendikit yang lebih lancar, terutama ketika melalui permukaan mencabar.
Dari segi keupayaan, model hibrid dikatakan lebih baik daripada varian diesel dalam aspek daya tunda. Namun, terdapat sedikit perbezaan pada kapasiti tangki bahan api – varian hibrid dilengkapi tangki 68 liter, berbanding 80 liter pada versi petrol konvensional.

Ciri visual yang membezakan varian hibrid ini termasuklah bampar hadapan dan reka bentuk liang udara baharu, khusus untuk varian VXR. Walaupun versi GR Sport mengekalkan rupa luar seperti biasa, kedua-dua trim ini diberikan lencana “457 TT” di sisi dan “HEV” pada pintu belakang sebagai identiti hibrid.
Bahagian dalaman menerima panel instrumen digital dengan paparan khas untuk sistem hibrid, disertai skrin infotainmen bersaiz 12.3-inci. Terdapat juga soket kuasa di ruang kargo, namun kapasiti simpanan tidak diumumkan buat masa ini.

Di Emiriah Arab Bersatu, Toyota Land Cruiser Hibrid kini boleh ditempah, dengan harga bermula dari AED 389,900 (sekitar RM518,000) untuk VXR dan AED 409,900 (sekitar RM545,000) bagi GR Sport.
Model ini turut disahkan bakal tiba di Australia menjelang separuh pertama tahun 2026, dan kemungkinan besar akan dilancarkan di Jepun tidak lama lagi.
- BACA: THAILAND LABUR RM5.6 BILION UNTUK BAWA F1 KE BANGKOK MULAI 2028
- BACA: EJEN TARIK KERETA DITAHAN POLIS CEROBOH RUMAH PEMILIK KERETA
- BACA: GGR MOTOR UMUM INISIATIF GO GREEN REVOLUTION, LANCAR MOTOSIKAL EV BAHARU
- BACA: MALCOLM WILSON DILANTIK SEBAGAI TIMBALAN PRESIDEN FIA. MAKIN MAJULAH SUKAN RALI