
TOYOTA ALIH PEMBANGUNAN RAV4, HIGHLANDER DAN SIENNA KE CHINA
Toyota kini melangkah ke fasa baharu dalam strategi pasaran China, dengan pengumuman besar bahawa model-model utama seperti RAV4, Highlander dan Sienna bakal dibangunkan secara tempatan bersama rakan kongsi di negara itu.
Langkah ini menandakan perubahan besar dalam pendekatan syarikat terhadap pasaran automotif terbesar dunia, dengan penglibatan lebih mendalam syarikat-syarikat seperti FAW (termasuk jenama mewah Hongqi), GAC dan BYD dalam proses pembangunan.
Keputusan ini diumumkan susulan pengumuman kerjasama Toyota dengan gergasi teknologi China seperti Xiaomi, Huawei dan Momenta untuk kenderaan generasi akan datang.
Fokus utama kini bukan lagi terhad kepada siri kenderaan elektrik bZ semata-mata. Sebaliknya, model warisan yang sudah lama bertapak seperti RAV4 dan Sienna juga akan diubah suai agar sesuai dengan keperluan serta citarasa pengguna di China.

Perubahan besar ini didorong oleh pengenalan kerangka baharu yang dinamakan RCE (Regional Chief Engineer) pada April 2025. Melalui kerangka ini, kuasa pembangunan produk diserahkan kepada pasukan tempatan bagi mempercepat proses rekaan, pembangunan dan pelancaran model baharu.
Sejak pelaksanaan RCE, Toyota telah melancarkan beberapa model khusus untuk pasaran China termasuk FAW Toyota bZ5, GAC Toyota bZ3X dan bakal menyusul, bZ7.
Menariknya, BYD menyumbang komponen utama EV untuk bZ5, manakala GAC memainkan peranan penting dalam pembangunan bZ3X dan bZ7.
Dalam masa terdekat, Toyota juga akan memperkenalkan sebuah model baharu yang dibina menggunakan platform NEV hasil pembangunan Hongqi, satu lagi langkah memperkukuh kerjasama strategik.

Sebagai sebahagian daripada penyusunan semula, semua usaha R&D Toyota di China termasuk FAW Toyota, GAC Toyota, BYD Toyota dan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Kenderaan Elektrik Pintar (IEM), kini disatukan di bawah satu inisiatif dipanggil “One R&D”.
Tambahan pula, GAC Toyota merancang untuk memperkenalkan varian REEV (kenderaan elektrik dengan julat tambahan) dan PHEV bagi model Highlander dan Sienna.
Kerjasama teknologi juga menjadi tunjang strategi baharu ini. Xiaomi akan membantu dalam integrasi peranti pintar ke dalam kenderaan bagi menyokong sistem AIoT, Huawei pula menyumbang sistem HarmonyOS 5.0 dan pembangunan pembantu suara berasaskan AI, manakala Momenta membekalkan sistem pemanduan pintar generasi baharu.
Hasil pendekatan ini, Toyota berjaya mempercepatkan kitaran pembangunan produk. Menurut sumber dalaman, model seperti bZ5 dan bZ3X dapat disiapkan dalam tempoh lebih singkat berbanding jika hanya bergantung kepada pasukan global.
Selain itu, penggunaan teknologi sedia ada daripada rakan kongsi tempatan juga membantu mengurangkan kos dan masa ke pasaran.
Namun begitu, Toyota tetap berpegang pada prinsip keselamatan. Walaupun komponen reka bentuk dan ciri dalaman lebih terbuka kepada pengaruh tempatan, sistem penting seperti bateri, brek dan stereng mesti mematuhi piawaian global syarikat.
Tindak balas pasaran terhadap pendekatan ini juga memberangsangkan. Contohnya, bZ3X mencatatkan jualan lebih 10,000 unit dalam masa 40 hari selepas pelancaran. Ini berbeza dengan bZ4X, yang dibangunkan sepenuhnya oleh pasukan global Toyota tetapi gagal mencipta impak di China.
Dengan penyusunan semula R&D, kerjasama meluas dengan syarikat teknologi dan pengeluar tempatan serta komitmen terhadap penyesuaian produk, Toyota bersedia menghadapi cabaran pasaran China yang menuntut inovasi pantas, ciri pintar dan fleksibiliti tinggi.