
HONDA SUPER EV BAKAL MASUK PASARAN EROPAH?
Honda bersiap sedia mencuri perhatian di Goodwood Festival of Speed 2025 (10-13 Julai) dengan pelbagai model baharu dan konsep menarik.
Antaranya ialah Civic Type R Ultimate Edition serta kemunculan Prelude hibrid dan SUV 0 yang berpenampilan luar biasa. Namun, satu model konsep yang benar-benar mencuri tumpuan ialah sebuah hatchback kecil, dinamakan sebagai Super EV.
Walaupun Honda masih berahsia tentang model ini, reka bentuknya yang berkotak dan bumbung tinggi jelas menggamit aura kereta kei dari Jepun. Ia mengingatkan kita pada Honda N-One, namun Super EV ini mungkin lebih besar sedikit, seakan-akan pengganti tidak rasmi kepada Honda e yang telah ditamatkan pengeluaran pada Januari 2024.

Berbeza dengan N-One yang menggunakan enjin petrol 658cc, Super EV ini tampak lebih moden dan berani. Fender besar dan bentuk keseluruhan menyerupai Honda e memberi petunjuk bahawa ini mungkin sebuah model elektrik sepenuhnya dalam segmen A, segmen sama seperti Hyundai i10, Kia Picanto, dan Volkswagen up! yang kini sudah tiada.
Apa yang menarik, walaupun digelar konsep, Super EV ini nampak sudah hampir siap untuk produksi. Ia hadir dengan cermin sisi bersaiz penuh, rim bersaiz biasa, dan port pengecasan yang terletak berdekatan logo hadapan yang masih diselindung.
Sensor hujan dan cahaya juga dilihat di bahagian atas cermin hadapan, memberi gambaran bahawa kereta ini bukan sekadar prototaip rekaan.

Selain itu, ia juga dilengkapi pemegang pintu konvensional dan spoiler bumbung yang menjanjikan elemen sporty. Menariknya, plat nombor pada kereta pandu kanan ini menandakan ia mungkin telah diuji secara aktif di jalan raya UK.
Dalam kabin pula, kelihatan skrin infotainmen berbentuk tablet yang seakan “terkeluar” dari papan pemuka, satu gaya kian popular dalam kereta moden.
Sebelum ini, Honda e dipuji kerana reka bentuk retro-modennya tetapi dikritik kerana jarak pemanduan yang pendek dan harga tinggi.
Jika Super EV ini adalah pembetulan kepada kelemahan tersebut, Honda mungkin bakal menemui kejayaan dalam segmen hatchback elektrik kompak, lebih-lebih lagi dengan saingan seperti Hyundai Inster di pasaran Eropah.