
FERRARI TANGGUH PROJEK EV KEDUA KERANA TIADA PERMINTAAN – HIDUP ICE!
Walaupun Ferrari mempunyai ramai peminat di seluruh dunia tapi rupanya kesemua mereka tidak mahukan sebuah EV Ferrari. Model EV pertama mereka bakal dilancarkan tahun ini dan mereka membuat keputusan untuk menangguhkan projek EV kedua. Barulah bijak.

Kesemua model Ferrari dikenali kerana ia sebuah supercar yang laju dan bising. Ia dibekalkan dengan pilihan enjin V12 dan V8 dan alunan bunyi ekzosnya bagaikan adegan saspen dalam drama yang isteri anda suka saksikan pada jam 7 malam (ada lagi ke drama sekarang pukul 7?).
Ferrari juga pernah dikritik kerana menghasilkan model berbeza, Purosangue, yang nak kata SUV bukan, kereta wagon pun bukan. Tapi ada juga la golongan kaya yang beli sebab nak kekalkan status sebagai pemilik Ferrari model baharu.

Kini mereka sekali lagi bakal berdepan dengan kritikan bila mahu melancarkan EV pertama mereka. Ia bakal menjadi sebuah jentera sports yang senyap (ada bunyi aiskrim je kot) tapi dengan data prestasi yang mungkin melebihi model ICE mereka.
Ferrari sebenarnya sudah laman bereksperimen dengan elektrifikasi ni sejak 2013 melalui LaFerrari, diikuti dengan Aperta dan model plug-in pertama mereka, SF90 Stradale.
Mungkin sudah terlambat untuk membatalkan terus projek EV tapi pilihan terbaik mereka sekarang ialah memperlahankan projek EV kedua kerana ketiadaan pembeli. Perancangan model kedua yang dijadualkan pada 2026 kini ditunda kepada 2028.

Langkah ini dikira tepat pada masanya kerana Lamborghini turut menanguhkan pelancaran EV pertama mereka dari 2028 ke 2029. Maserati lagi selamba. Batalkan terus projek MC20 mereka!