Buletin

NISSAN MICRA 2017 – APESAL KAU CANTIK SANGAT?

Nissan baru sahaja melancarkan model kompaknya, Micra (March di pasaran ASEAN) pada acara Paris Motor Show 2016. Micra generasi kelima yang dilihat sebagai model revolusionari itu disasarkan untuk pasaran hatchback terbesar di dunia, Eropah.

Micra Gen5

Tidak banyak berbeza dengan model Sway Concept yang dipamerkan pada Geneva Motor Show 2015, Micra kini lebih menarik dengan garis badan yang dramatik. Model kompak itu juga lebih rendah, lebar, panjang dan memiliki ruang kabin luas berbanding model terdahulu.

Sebagaimana yang boleh anda lihat, Micra menggunakan sepenuhnya bahasa reka bentuk terkini Nissan. Paling ketara ialah gril V-motion, lampu berbentuk boomerang dan rekaan bumbung yang terapung.

Micra Gen5

Hendal pintu belakang pula disorok pada tiang C. Manakala garis bumbungnya disudahkan dengan spoiler yang bukan sahaja nampak sporty, malah meningkatkan aspek prestasi dan aerodinamik.

Pelanggan boleh memilih antara sepuluh warna menarik, termasuklah warna oren ini. Opsyen personalisasi dalaman dan luaran membolehkan penghasilan 125 variasi berbeza. Jadi Micra anda pasti tidak sama dengan orang lain.

Micra Gen5

Micra didatangkan dengan beberapa pilihan enjin. Ini termasuklah enjin turbo tiga silinder petrol bersesaran 0.9 liter dan diesel 1.5 liter yang kedua-duanya mampu menghasilkan kuasa 90hp. Nissan menyatakan ia akan menambah enjin petrol aspirasi biasa (N/A) 1.0 liter berkuasa 73hp tidak lama lagi.

Micra Gen5

Kemantapan pemanduan Micra disumbangkan oleh ciri Active Ride Control dan Active Trace Control yang berfungsi mengurangkan masalah understeer. Aspek keselamatan ditingkatkan lagi menerusi pakej teknologi seperti Lane Departure Prevention, Intelligent Emergency Braking yang mampu mengesan pejalan kaki, Intelligent Around View Monitor, Traffic Sign Recognition, High Beam Assist dan Blind Spot Warning.

Micra Gen5

Di ruang kabin, Micro dilengkapi sistem bunyi Bose® Personal® dengan enam unit pembesar suara. Di bahagian tengah papan pemuka, terdapat sebuah skrin paparan warna bersaiz tujuh inci. Ia menjadi pusat kawalan untuk sistem audio, navigasi, telefon pintar, boleh memuat turun aplikasi serta kawalan suara SIRI menerusi Apple CarPlay.

Micra akan dihasilkan di kilang Renault di Flins, Perancis dengan jualan bermula pada Mac tahun depan.

Google ads
Back to top button