DARI PEDANG TAJAM JADI SENJATA TERULUNG – SUZUKI KATANA
Nama Katana rasanya cukup dikenali di seluruh dunia sebagai senjata warisan Jepun yang paling popular. Katana merupakan pedang panjang yang mesti digenggam dengan dunia belah tangan dan cukup tajam sehingga dikatakan mampu memotong apa sahaja di tangan pemain pedang yang mahir.
Ironiknya Suzuki juga memperkenalkan motosikal yang dinamakan Suzuki Katana kira-kira 35 tahun yang lalu. Ia juga dikawal dengan dua belah tangan dan mampu memotong hampir semua pencabar dari jenama lain. Memandangkan Kilang pemasangan Suzuki Malaysia sudah ditutup dan peralatannya habis dilelong, kami rasa terpanggil untuk mengenengahkan satu lagenda bersejarah yang pernah dihasilkan jenama ini.
Katana merupakan satu titik perubahan bagi Suzuki, khususnya untuk pasaran motosikal domestik Jepun. Kemunculannya dikatakan akibat dari kekecewaan Suzuki pada awal dekad 80-an. Kisahnya bermula penghujung tahun 70-an sewaktu Suzuki memperkenalkan model terulung mereka yang dinamakan GSX1100E.
Ia digelar sebagai produk yang gagal kerana rekaannya yang kurang menarik dan dilabelkan sebagai “hodoh” oleh ramai penulis permotoran dari Barat. Ini kerana Suzuki sejak dari zaman enjin dua-lejang sehingga ke enjin empat-lejang dikenali sebagai pengeluar motosikal yang tahan lasak dan berteknologi tinggi. Sudah tentu ia memalukan syarikat yang diasaskan oleh Michio Suzuki ini.
Kritikan ini merupakan satu tamparan hebat buat Suzuki. Ia mendatangkan kemaluan yang besar kepada jurutera mahupun syarikat ini secara keseluruhan.
BACA-TERPANTAS KATEGORI 125CC, SUZUKI GSX125
BACA-SUZUKI BAKAL BANGUNKAN PENCABAR MSX125
GSX1100E menjadi liabiliti kepada syarikat disebabkan kegagalannya memikat hati pembeli. Justeru, Suzuki mengambil langkah drastik untuk menaiktaraf motosikal ini, bukan dari segi teknikal ataupun mekanikal tetapi khusus untuk bahagian rekaan luaran.
Ini boleh dikira sebagai pembedahan plastik la kalau zaman sekarang. Tapi bagaimana caranya untuk mengubah sebuah motosikal buruk seperti Abang Japar kepada bentuk yang memukau? Mereka bermesyuarat pun bermesyuarat dan dapatnya ialah hendak mengubah corak pemikiran jurutera – tapi sudah tentu tetap melahirkan bentuk biasa.
Terdorong oleh inspirasi industri motosikal dari jenama Barat, Suzuki mengambil keputusan yang agak luar biasa pada ketika itu, mereka akan mencuba idea dan kepakaran jurutera dari benua Barat.
Tiga orang pereka ternama dibawa masuk iaitu Hans Muth, Jan Fellstrom dan Hans-Georg Karsten (Hans Isaac kecil lagi masa ni). Ketiga-tiganya merupakan pereka ternama BMW Motorrad. Fellstrom dan Karsten pernah berkhidmat sebagai pereka di Porsche, pengeluar kereta sport ternama juga dari Jerman.
Proses R&D ini mengambil masa selama satu tahun dan akhirnya lahirlah prototaip Suzuki Katana pertama untuk kategori mid-level, diasaskan daripada Suzuki GS550. Dari motosikal naked inilah yang akan berkembang kepada model Suzuki Katana yang sebenar. Rekaan dengan aura Jerman ini diluluskan oleh pihak Suzuki Motor Jepun dan meminta ia disalin segera ke model terulung mereka, Suzuki GSX1100.
Apa yang peliknya pada peringkat awal, Suzuki tidak berkenan langsung dengan model tersebut tetapi mereka tetap mempamerkannya di pameran automotif Jepun untuk melihat reaksi pengunjung.
Sejarah baru tertulis bila majoriti pengunjung sukakan model itu dan menyokong agar ia segera dikeluarkan untuk pasaran. Respon yang diterima memberi tamparan hebat kepada pihak Suzuki dan pencinta-pencinta dunia automotif.
Kehebatan Suzuki Katana adalah pada rekaanya yang radikal seolah-olah ianya datang dari era yang lain dan cukup berbeza dengan aliran semasa. Ia merupakan motosikal pertama yang menggabungkan ciri-ciri estetik, ergonomik dan aerodinamik.
Muth memanfaatkan pengalaman beliau menghasilkan rekaan fairing aerodinamik untuk BMW R100S. Fellstrom dan Karsten pula menggunakan ilmu aerodiamik yang didapati sewaktu berkhidmat merekabentuk model sport untuk Porsche (Termasuklah penggunaan lampu hadapan pop-up yang pertama untuk motosikal!). Semuanya disatukan untuk menghasilkan Suzuki GSX Katana dengan kod ED2.
Kedua-dua Suzuki Katana , GS550 (ED1) dan GSX1100 (ED2) diperkenalkan buat pertama kali di pameran automotif Jerman di Cologne pada tahun 1980. Ia mendapat sambutan yang cukup hangat dan akhirnya dikeluarkan untuk pasaran pada tahun 1981.
Katana merupakan titik perubahan yang besar buat Suzuki kerana kemudiannya nama Katana bukan hanya digunakan untuk kedua model itu sahaja tetapi digunakan kepada semua barisan model yang dikeluarkan oleh syarikat berlogo ‘S’ ini.
Dalam era 80-an inilah Suzuki telah menjelma menjadi Superman (ataupun Supermotor) dan menewaskan semua tiga saingan terbesar mereka dari Jepun! Honda, Yamaha dan Kawasaki. Katana mengejutkan industri dengan rekabentuknya yang cukup futuristik. Nama Katana mula bermain di bibir peminat motosikal.
Nama Katana telah digunakan oleh Suzuki Motor sehingga ke tahun 2001 untuk pelbagai produk mereka. Semuanya mempunyai ciri-ciri khas Katana seperti rekaan fairing separuh dan warna perak gelap yang cukup bergaya pada masa itu.
Berikut disenaraikan motosikal yang menggunakan lencana Katana:
1980 : Model konsep Katana 550 dan 1100 diperkenalkan di Cologne, Jerman.
1981 : Tahun pengeluaran pertama Suzuki GS550 dan GSX1100S Katana. Kemudian diikuti dengan GSX750S dan GS650G. Semuanya dinamakan Katana.
1982 : Suzuki memperkenalkan XN85 Turbo. Seperti namanya, ia memang dilengkapi pengecas turbo. Walaupun tidak dilabel sebagai Katana tetapi ia mempunyai ciri yang hampir sama dengan Katana.
1984 : Lampu pop-up yang terkenal ditambah pada Katana GSX750S.
1985 : Katana GSX1100S dihentikan untuk pasaran Eropah untuk memberi laluan kepada GSX-R yang baru. Tetapi ia masih dipasarkan di Jepun kerana mendapat permintaan yang hangat.
1991 : GSX250S diperkenalkan sebagai Katana yang paling kecil.
1992 : Suzuki memperkenalkan GSX400S Katana. Sayangnya kedua-dua model 250cc dan 400cc ini hanya bertahan sehingga tahun 1994 sahaja.
2001 : Pengakhiran sejarah Katana yang panjang. Walaupun ada produk lain yang menggunakan nama Katana sehingga tahun 2008, namun ia sudah kehilangan beberapa ciri asal Katana, khususnya rekaan fairing dan warna perak gelap.
Adakah Suzuki melupakan terus Katana? Tentu sekali tidak kerana beberapa elemen Katana sentiasa ada dalam rekaan model konsep mereka. Contohnya ialah pada Suzuki Stratosphere dan Recursion.
Adakah Suzuki akan menghasilkan semula Katana? Secara teknikalnya, mungkin payah, tetapi terdapat idea yang mungkin cukup “panas” seperti yang dipaparkan oleh laman web BEMOTO ini.
Cantik kan?
Ini lagi contoh lain yang kami rasakan perlu untuk Suzuki jadikannya model produksi.
Semoga CEO Suzuki Jepun, ahli lembaga pengarah dan keluarga mereka dalam keadaan sihat-sihat belaka. senang hati dan tiba-tiba berimpian nak jadikan motor lagenda mereka sebagai produksi. Kami sedia menunggu, walaupun untuk seribu tahun lagi.