Buletin

NISSAN QASHQAI & X-TRAIL KUSTOM GENEVA

Bagi meraikan kejayaan jualan crossover di Eropah, Nissan membangunkan dua model yang menerima gaya kustom agresif iaitu Qashqai dan X-Trail.

nissan-qashqai-xtrail-premium-concepts-mekanika (2)

Qashqai Premium Concept dihasilkan oleh Nissan Design Europe (NDE) di London. Manakala X-Trail Premium Concept pula menerima sentuhan  Nissan Global Design Center (GDC) di Jepun.

Walaupun kedua-dua model itu berbeza, namun penggunaan warna, material dan tema keseluruhan adalah sama.

Nissan menggunakan hitam matte kontemporari sebagai warna dominan untuk Qashqai Premium Concept. Perincian warna emas disematkan pada rangka badan seperti roda, garisan cermin, kluster lampu hadapan dan rel bumbung.

Perbezaan  lain diserlahkan menerusi penggunaan gentian karbon pada bahagian bawah dan rim aloi bersaiz 20 inci.

nissan-qashqai-xtrail-premium-concepts-mekanika (4)

Bahagian kabin, Nissan menggunakan balutan kulit upholsteri Nappa putih dengan kemasan jahitan pada ruang tengah belakang kerusi. Ia diserlahkan lagi menerusi kemasan warna emas pada keseluruhan kabin yang dipadankan dengan hitam satin krom dan hitam berkilat pada stereng serta tombol gear.

Sementara X-Trail Premium Concept pula didatangkan dengan cat putih matte sebagai warna utama. Penggunaan gentian karbon berwarna hitam matte dipadang pada hud dan bumbung untuk penampilan lebih ganas. Kemasan warna emas turut terlihat pada skid hadapan dan rim 20 inci.

nissan-qashqai-xtrail-premium-concepts-mekanika (1)

Kabin  X-Trail Premium Concept diselaputi dengan skim warna coklat dan hitam yang dipadu dengan aksen gentian karbon hitam pada papan pemuka dan pintu.

“Kami memberi kebebasan kreativiti kepada pasukan rekaan menerusi dua projek ini. Akhirnya kami menghasilkan dua rekaan yang berbeza tetapi berkongsi tema  sama yang mendedahkan karakter premium baharu bagi crossover,” kata Naib Presiden Kanan Rekaan dan CCO Nissan Motor Co., Shiro Nakamura.

Kedua-dua model ini akan dipamerkan pada Geneva Motor Show 2016.

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button