Buletin

NISSAN SVM QASHQAI-R, SUV PALING LAJU DI DUNIA – GUNA ENJIN R35, 2,000HP, 382.7km/j!

Sebuah Nissan Qashqai generasi pertama yang telah menerima modifikasi ekstrem dilapor berjaya mencatat kelajuan 382.7km/j di lebuh raya Vmax 200 di Amerika Syarikat.

Jentera tersebut dibina oleh Severn Valley Motorsport yang terkenal dengan kerja-kerja tuning yang gila seperti trak pikap berkuasa 800hp.

Firma yang berpangkalan di United Kingdom itu melakukan perubahan ke atas hampir keseluruhan Qasqai ini, termasuklah kabin dan panel badan.

Menggunakan enjin VR38DETT yang diambil daripada Nissan GT-R R35, pakar tuner daripada Severn berjaya membuatkan enjin tersebut menjana kuasa 2,000hp. Dalam keadaan standard, enjin itu boleh menghasilkan kuasa sekitar 600hp sahaja.

Dengan SVM Qashqai-R ini, Severn didakwa merampas gelaran SUV paling pantas di dunia daripada Toyota.

Pada Mei 2017, sebuah Toyota Land Cruiser V8 berkuasa 2,000hp berjaya mencatat kelajuan 370km/j. Sebelum itu, sebuah Brabus GLK V12 merekodkan kelajuan 339km/j.   

Lebih menarik lagi, catatan yang dibuat oleh SVM Qashqai-R turut mengalahkan dua model hypercar Koenigsegg, Lamborghini Huracan, McLaren 720S dan banyak lagi.

Di pasaran UK, Qashqai menggunakan enjin berkuasa 163hp dan ditawarkan pada harga £19,300 (RM104,212) seunit. Nissan kini dilaporkan sedang giat membangunkan Qashqai generasi baharu yang diinspirasikan oleh model IMx Concept.

BACA: SAKSIKAN VIDEO SUV TERLAJU DI DUNIA – LAND SPEED CRUISER, 370KM/J 

Google ads
Back to top button