
NISSAN TIDAK AKAN HASILKAN SILVIA BAHARU – TIADA PELANGGAN KATANYA
Nissan mengesahkan bahawa ia mungkin tidak akan menghasilkan pengganti Nissan Silvia untuk bersaing dengan Toyota 86 atau Subaru BRZ.
Pengakuan itu dibuat oleh Ketua Pegawai Perancangan Global Nissan, Philippe Klein kepada pihak CarAdvice pada acara Pameran Elektronik Pengguna (CES) 2017 yang berlangsung di Las Vegas, Amerika Syarikat sekarang.
Menurut Klein, memang sukar untuk Nissan membuat satu kes perniagaan untuk model Silvia (juga dikenali sebagai 200SX) atau kereta sports mampu milik dengan pacuan roda belakang kerana tiada pelanggan yang mahu membelinya.
BACA: KUASA NISSAN SILVIA S14
BACA: SILVIA S15 – BERAKHIRNYA LAGENDA SR20DET
Sebaliknya, divisyen sports Nissan akan fokus untuk menghasilkan jentera lebih sporty daripada model-model sedia ada. Mungkin ramai yang masih ingat bahawa Nissan ada mendedahkan beberapa model konsep kereta sports pacuan roda belakang bersaiz kecil seperti Nissan iDX Freeflow pada acara Tokyo Motor Show 2013.
“Ia merupakan satu segmen yang sangat sukar dan sudah tidak ada pelanggan lagi. Saya lebih percaya kepada penghasilan jentera NISMO daripada model-model sedia ada. Perniagaan ini nampak lebih mapan dan berdaya maju di beberapa buah pasaran,” kata Klien.
Berita sebegini mendapat perhatian kerana jualan Toyota 86 dan Subaru BRZ dikatakan merudum. Situasi itu jelas menakutkan Nissan dan pengeluar kenderaan lain untuk mengikut langkah Toyota.
Di sebalik perkembangan yang kurang menggembirakan ini, Nissan menegaskan ia akan terus menawarkan model berkuasa tinggi GT-R. GT-R dilihat sebagai satu jenama halo yang penting buat Nissan.
GT-R dikatakan mempunyai posisi penting dalam keluarga produk Nissan. Ini kerana setiap kali versi baru GT-R dikeluarkan, impak yang dihasilkannya cukup besar. Jadi, Nissan dilihat akan terus melabur untuk model tersebut.