
NPE 2 GUNA SISTEM TOL TANPA PALANG, DIJANGKA SIAP 2029
Projek Sambungan Lebuhraya Baru Pantai 2 (NPE 2) dijangka menjadi antara lebuh raya pertama di negara ini yang direka untuk menggunakan sistem kutipan tol tanpa palang atau Multi-Lane Free Flow (MLFF) apabila siap sepenuhnya pada 2029.
Ketua Pegawai Eksekutif Divisyen Tol IJM Corporation Berhad, Chua Lay Hoon berkata, sistem ini adalah bagi memastikan aliran trafik lebih lancar dan mengurangkan kesesakan, terutama pada waktu puncak.
“Reka bentuk projek ini memang telah mengambil kira pelaksanaan MLFF. Bagaimanapun, pelaksanaannya bergantung kepada program dan keputusan kerajaan pada masa akan datang,” katanya pada Taklimat Khas Projek Sambungan NPE 2 bersama media di sini hari ini.
Projek bernilai RM1.7 bilion itu melibatkan pembinaan laluan utama sepanjang 6.4 kilometer dengan keseluruhan jajaran termasuk tanjakan sejauh 15 kilometer yang menghubungkan Plaza Tol Pantai Dalam ke Jalan Istana di Kuala Lumpur.
Setakat ini, projek berkenaan mencapai kemajuan kira-kira enam peratus membabitkan kerja reka bentuk dan pemodelan, manakala kerja pembinaan fizikal telah bermula sejak bulan lalu.
Apabila siap kelak, NPE 2 dijangka memperkukuh rangkaian lebuh raya di Lembah Klang melalui hubungan yang lebih cekap antara Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) dan cadangan Lebuhraya Istana-Kiara (LIKE).
Projek itu juga selaras dengan Pelan Induk Trafik Kuala Lumpur 2040 yang bertujuan meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan dan mobiliti bandar. – Berita RTM
- BACA: HONDA AVANCIER (UR-V) BAKAL MASUK ASEAN, THAILAND JADI HAB PENGELUARAN
- BACA: PROTON e.MAS PERLUAS RANGKAIAN PENGECAS EV DI KEDIAMAN BERTINGKAT, TAWAR PENGECASAN SERENDAH RM0.63/KWH
- BACA: MAZDA 6E RHD MENDARAT DI THAILAND, MALAYSIA BERPOTENSI TERIMA MODEL EV INI
- BACA: PROTON DAN SUNWAY TINY TOYS PERKENAL MODEL MINIATUR SAGA, e.MAS 5

