
HONDA AVANCIER (UR-V) BAKAL MASUK ASEAN, THAILAND JADI HAB PENGELUARAN
Honda dilaporkan sedang merancang memperkenalkan model SUV baharu bersaiz sederhana, Avancier atau UR-V, ke pasaran Asia Tenggara.
Menurut sumber industri, Thailand dikatakan bakal menjadi negara pertama di rantau ini yang menerima model berkenaan, selain dijangka menjadi hab pemasangan untuk pasaran pemanduan sebelah kanan (RHD).
Jika perancangan itu menjadi kenyataan, Avancier berpotensi muncul sebagai SUV perdana baharu Honda di rantau ASEAN menjelang 2027.
Model Avancier ketika ini hanya dipasarkan di China menerusi dua versi berbeza iaitu Dongfeng Honda Avancier dan GAC Honda UR-V.

Ia hadir sebagai SUV lima tempat duduk dengan fokus kepada ruang kabin belakang yang lebih luas, berbanding konfigurasi tiga baris tempat duduk seperti kebanyakan SUV keluarga lain.
Pendekatan tersebut dilihat selari dengan trend semasa di China yang lebih menitikberatkan keselesaan penumpang belakang dan ruang dalaman premium.
Bagaimanapun, model sedia ada sebenarnya sudah berada di pasaran China sejak 2017 dan pernah menerima dua kemas kini utama pada tahun 2020 serta 2023.
Situasi itu menimbulkan spekulasi bahawa Honda mungkin sedang membangunkan generasi serba baharu untuk diperkenalkan di rantau ini.
Difahamkan, model generasi baharu itu berkemungkinan menggunakan sistem hibrid e:HEV yang sama seperti digunakan pada Civic, HR-V dan CR-V. Namun setakat ini, butiran teknikal masih belum didedahkan secara rasmi.
Jika pemasangan benar-benar dilakukan di Thailand, langkah itu dijangka memberi kelebihan kepada Honda dari segi kos operasi dan pengedaran untuk pasaran ASEAN yang majoritinya menggunakan konfigurasi pemanduan sebelah kanan.
- BACA: PROTON e.MAS PERLUAS RANGKAIAN PENGECAS EV DI KEDIAMAN BERTINGKAT, TAWAR PENGECASAN SERENDAH RM0.63/KWH
- BACA: MAZDA 6E RHD MENDARAT DI THAILAND, MALAYSIA BERPOTENSI TERIMA MODEL EV INI
- BACA: PROTON DAN SUNWAY TINY TOYS PERKENAL MODEL MINIATUR SAGA, e.MAS 5
- BACA: HANYA RM8,888 UNTUK SKUTER 205CC LENGKAP DENGAN ABS, TRACTION CONTROL DAN SKRIN TFT


