Buletin

PROTON DAN SUNWAY TINY TOYS PERKENAL MODEL MINIATUR SAGA, e.MAS 5

PROTON terus memperluaskan pendekatan jenamanya kepada rakyat Malaysia menerusi kerjasama terbaharu bersama Sunway Tiny Toys dengan memperkenalkan model miniatur berskala 1/64 bagi Proton Saga baharu dan Proton e.MAS 5.

Kolaborasi itu hadir selepas kejayaan kerjasama PROTON bersama Mattel menerusi penghasilan Hot Wheels Proton Saga, sekali gus meneruskan usaha pengeluar automotif nasional itu mendekati peminat daripada pelbagai lapisan usia melalui koleksi bersifat nostalgia dan tempatan.

Pengenalan kedua-dua model miniatur tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif “Cerita Malaysia Kita” sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 yang mengetengahkan kisah, pengalaman serta jenama yang dekat dengan kehidupan harian rakyat negara ini.

Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, jenama PROTON bukan sekadar pengeluar kereta, malah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup termasuk pengalaman membeli kereta pertama, perjalanan pulang ke kampung dan memori keluarga yang tersimpan sejak sekian lama.

Menerusi model miniatur itu, elemen nostalgia dan perkembangan industri automotif negara cuba diterjemahkan dalam bentuk koleksi yang boleh dimiliki oleh pengumpul, peminat automotif mahupun generasi muda.

Model Proton Saga baharu dan Proton e.MAS 5 itu akan mula dijual di outlet Sunway Tiny Toys di Sunway Lagoon selain melalui penjual semula rasmi terpilih di seluruh negara.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dato’ Ir. Abdul Rashid Musa berkata, Proton Saga terus mempunyai kedudukan istimewa dalam hati rakyat Malaysia manakala Proton e.MAS 5 pula melambangkan hala tuju baharu syarikat dalam era mobiliti elektrik.

Menurut beliau, penghasilan model miniatur tersebut bukan sekadar menghasilkan replika kereta, tetapi turut membawa bersama nilai sentimental, aspirasi dan perkembangan yang membentuk perjalanan PROTON sebagai jenama automotif nasional.

“Melalui koleksi ini, kami mahu rakyat Malaysia merasai hubungan yang lebih dekat dengan jenama PROTON dalam cara berbeza dan lebih santai,” katanya.

Pemilihan kedua-dua model itu juga mencerminkan perkembangan portfolio semasa PROTON.

Proton Saga kekal sebagai antara model paling penting syarikat dengan jualan kukuh dalam segmen enjin pembakaran dalaman, selain terus menjadi pilihan pengguna tempatan menerusi gabungan nilai, praktikaliti dan teknologi moden.

Dalam masa sama, Proton e.MAS 5 semakin mendapat perhatian sebagai antara EV mampu milik popular di Malaysia, sekali gus memperlihatkan penerimaan pengguna tempatan terhadap teknologi mobiliti elektrik yang semakin berkembang.

Bagi pengumpul miniatur, model skala 1/64 itu memberi peluang memiliki simbol penting perjalanan PROTON dalam bentuk koleksi, manakala bagi generasi muda pula ia boleh menjadi pengenalan awal terhadap perkembangan industri automotif negara.

Google ads
Back to top button