
PROTON e.MAS PERLUAS RANGKAIAN PENGECAS EV DI KEDIAMAN BERTINGKAT, TAWAR PENGECASAN SERENDAH RM0.63/KWH
PROTON e.MAS terus memperkukuh ekosistem mobiliti elektrik negara apabila memperluaskan rangkaian pengecasan ke kondominium dan kediaman bertingkat tinggi di seluruh Malaysia bagi memudahkan kehidupan pemilik EV di kawasan bandar.
Langkah yang dilaksanakan menerusi PRO-NET, anak syarikat milik penuh PROTON Holdings Berhad itu memberi fokus kepada cabaran utama pengguna EV di kawasan kediaman bertingkat, khususnya isu akses kepada kemudahan pengecasan yang mudah, praktikal dan berpatutan.
Melalui aplikasi Proton e.MAS, pemilik kenderaan Proton e.MAS kini boleh menikmati kadar pengecasan khas kediaman bermula serendah RM0.63/kWh.
Tawaran eksklusif tersebut sah sehingga 31 Disember 2026 dan disifatkan mampu membantu mengurangkan kos penggunaan harian pemilik EV.

Setakat ini, rangkaian Proton e.MAS merangkumi lebih 1,500 titik pengecasan di lebih 500 kondominium dan pembangunan kediaman bertingkat di seluruh negara, sekali gus menjadikannya antara rangkaian pengecasan EV kediaman terbesar di Malaysia.
Liputan tersebut melibatkan kawasan utama seperti Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor, selain terus diperluaskan ke Sabah, Sarawak serta beberapa bandar utama lain.
Usaha itu juga dilihat mampu membantu penghuni kediaman bukan bertanah yang sebelum ini bergantung kepada pengecas awam luar atau tidak mempunyai akses kepada pengecas dinding peribadi.
Dalam masa sama, Proton e.MAS turut mengintegrasikan fungsi pengecasan melalui satu aplikasi bagi memudahkan pengguna mencari lokasi pengecas, mengaktifkan sesi pengecasan dan membuat pembayaran tanpa perlu menggunakan beberapa aplikasi berbeza.
Pengguna hanya perlu membuka aplikasi Proton e.MAS, memilih lokasi pengecasan yang tersedia di kawasan kediaman masing-masing, memilih penyambung yang sesuai dan memulakan sesi pengecasan secara terus melalui telefon pintar.
Menurut PRO-NET, penggunaan EV juga berpotensi membantu pemilik mengurangkan lebih 30 peratus kos tenaga bulanan berbanding penggunaan kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE).
Selain itu, Proton e.MAS turut membuka peluang kepada pengguna dan penduduk untuk mendaftarkan minat bagi pembangunan infrastruktur pengecasan masa hadapan di kawasan kediaman masing-masing menerusi platform rasmi Proton e.MAS.
- BACA: MAZDA 6E RHD MENDARAT DI THAILAND, MALAYSIA BERPOTENSI TERIMA MODEL EV INI
- BACA: PROTON DAN SUNWAY TINY TOYS PERKENAL MODEL MINIATUR SAGA, e.MAS 5
- BACA: HANYA RM8,888 UNTUK SKUTER 205CC LENGKAP DENGAN ABS, TRACTION CONTROL DAN SKRIN TFT
- BACA: GAGAL DAPAT JET HARRIER DARI PEPSI, KINI LELAKI INI JUTAWAN AIR MILES LEPAS 30 TAHUN







