
MAZDA 6E RHD MENDARAT DI THAILAND, MALAYSIA BERPOTENSI TERIMA MODEL EV INI
Mazda kini dilihat semakin hampir memperkenalkan sedan elektrik terbaharunya ke pasaran pemanduan sebelah kanan (RHD) apabila unit produksi pertama Mazda 6e dikesan tiba di Thailand menjelang pelancarannya pada Julai ini.
Model liftback elektrik tersebut juga bakal memasuki pasaran Australia dalam tempoh sama sebelum meneruskan pengembangannya ke United Kingdom.
Laporan media Thailand menyebut kira-kira 500 unit pertama Mazda 6e sudah tiba di Pelabuhan Laem Chabang berhampiran Pattaya minggu lalu.
Penghantaran itu sekali gus menjadi kemunculan awam pertama model produksi RHD berkenaan, dengan lebih banyak unit dijangka dihantar ke beberapa pasaran lain dalam masa terdekat.

Mazda 6e sebenarnya dikenali sebagai EZ-6 di China dan dihasilkan di kilang Changan-Mazda di Nanjing menerusi kerjasama strategik antara Mazda dan Changan.
Model ini sebelum ini dilancarkan di China pada Oktober 2024 sebelum versi eksport global diperkenalkan di Brussels Motor Show 2025.
Selain Thailand dan Australia, model tersebut turut disahkan bakal memasuki beberapa lagi pasaran RHD seperti Singapura, Hong Kong, Indonesia dan UK.
Menariknya, laporan media China turut menyatakan Mazda sedang mempertimbangkan Malaysia sebagai salah satu destinasi pasaran masa depan untuk 6e.

Mazda 6e dibangunkan menggunakan platform EPA1 milik Changan, sama seperti Deepal SL03 dan L07. Malah, SUV CX-6e atau EZ-60 di China juga berkongsi asas sama dengan Deepal S07.
Walaupun menggunakan platform Changan, Mazda menegaskan banyak talaan khas dilakukan bagi memastikan model ini masih mengekalkan karakter pemanduan “Jinba-Ittai” yang sinonim dengan jenama itu.
Di China, EZ-6 ditawarkan dengan dua pilihan bateri LFP CATL-Changan iaitu 56.1kWh dan 68.8kWh, masing-masing menawarkan jarak gerak sehingga 480 km dan 600 km mengikut kitaran CLTC.
Kuasa pula disalurkan menerusi motor elektrik tunggal pacuan belakang yang menghasilkan 255hp.
Mazda turut menawarkan versi EREV di China yang menggabungkan bateri 28kWh bersama enjin 1.5 liter sebagai penjana kuasa tambahan. Versi tersebut mampu bergerak sejauh 200 km menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya.
Bagi model eksport 6e, Mazda sebelum ini memperkenalkan pilihan bateri 80kWh jenis NMC untuk versi Long Range. Namun, konfigurasi itu kurang mendapat sambutan kerana kuasa motor dikurangkan selain kadar pengecasan pantas DC yang lebih rendah.
Sebagai penyelesaian, Mazda kini memperkenalkan bateri baharu 78kWh jenis LFP untuk model RHD terkini.
Mazda Australia mendakwa pek bateri baharu itu bukan sahaja meningkatkan jarak perjalanan sehingga 560 km, malah menawarkan prestasi pengecasan pantas yang lebih baik.
Dari sudut harga, EZ-6 di China dijual bermula sekitar 150,800 yuan, bersamaan kira-kira AS$22,200 (RM90,477). Namun, harga bagi model eksport 6e jauh lebih tinggi, dengan pasaran UK menyaksikan harga mencecah sekitar GBP38,995 atau lebih AS$51,000 (RM209,742).
- BACA: PROTON DAN SUNWAY TINY TOYS PERKENAL MODEL MINIATUR SAGA, e.MAS 5
- BACA: HANYA RM8,888 UNTUK SKUTER 205CC LENGKAP DENGAN ABS, TRACTION CONTROL DAN SKRIN TFT
- BACA: GAGAL DAPAT JET HARRIER DARI PEPSI, KINI LELAKI INI JUTAWAN AIR MILES LEPAS 30 TAHUN
- BACA: LEAPMOTOR MENDUNIA, JUAL 1.5 JUTA KERETA SELURUH DUNIA


