
GWM WEY G9 – MPV PHEV. HARGA MENYESAL KALAU BELI ALPHARD
Pasaran MPV mewah kini semakin meriah dengan kehadiran pelbagai model elektrifikasi dari China seperti Denza D9, Zeekr 009 dan Xpeng X9. Namun GWM tampil dengan pendekatan yang sedikit berbeza menerusi Wey 80 PHEV sebuah MPV plug-in hybrid yang cuba menawarkan gabungan kemewahan, keselesaan dan kecekapan penggunaan bahan api dalam satu pakej kenderaan keluarga.
Dari segi rekaan, GWM Wey G9 tampil dengan dimensi yang cukup besar dengan panjang 5,050 mm, dengan lebar 1,985 mm serta jarak roda sepanjang 3,085 mm. Bahagian hadapan menggunakan jeriji rekaan air terjun yang besar dan menonjol, memberikan imej eksklusif seakan sebuah limosin mewah.
Jika dilihat dari sebelah sisi, reka bentuk GWM G9 kelihatan agak konservatif dengan penggunaan kemasan krom dan rim aloi 18 inci. Pada masa sama ia kelihatan agak kosong pada pandangan penulis. Bahagian belakang pula menampilkan lampu menegak bersaiz besar yang mempunyai identiti rekaan hampir sama dengan bahagian hadapan dengan imej seperti SUV Amerika.

Rekaan keseluruhannya kelihatan kemas dan matang walaupun mungkin sedikit kurang menyerlah berbanding pesaing seperti Denza D9 atau Zeekr 009. Wey G9 dibangunkan menggunakan platform khas New Energy Vehicle (NEV) yang direka untuk menempatkan sistem hibrid plug-in serta pek bateri di bawah lantai.
Susun atur ini membantu menghasilkan lantai kabin yang rata serta ruang dalaman yang lebih luas. Sistem suspensi menggunakan gabungan MacPherson di hadapan dan multi-link di belakang dengan penggunaan teknologi Frequency Response Damper (FRD) dan Hydraulic Rebound Stop (HRS).
Hasilnya, MPV ini menawarkan karakter pemanduan yang sangat selesa dan lembut tanpa menghasilkan olengan badan yang berlebihan seperti yang dialami oleh Denza D9 dengan berat cesi lebih kurang sama.

Kuasa elektrik dibekalkan oleh bateri NMC berkapasiti 44.2 kWh yang membolehkan Wey G9 bergerak sejauh 145 km dalam mod elektrik sepenuhnya mengikut standard WLTP. Untuk pengecasan AC, pengecas terbina dalam 6.6 kW memerlukan sekitar 6.5 jam untuk pengecasan penuh, manakala pengecasan DC 60 kW mampu mengecaj bateri dari 30 hingga 80 peratus dalam masa hanya 26 minit.
Sistem rangkaian kuasa pula terdiri daripada enjin 1.5 liter turbo TGDI yang menghasilkan 150 PS dan 240 Nm, dipadankan dengan transmisi 4-kelajuan Dedicated Hybrid Transmission (DHT). Ia turut dibantu oleh dua motor elektrik yang menghasilkan 109 PS dan 170 Nm serta 184 PS dan 232 Nm.
Secara keseluruhan sistem PHEV ini menghasilkan kuasa gabungan 442 PS dan 642 Nm, menjadikan Wey G9 antara MPV paling berkuasa dalam kelasnya. Dengan gabungan setangki bahan api dan bateri dicaj penuh, jarak perjalanan melebihi 1,000 km bukanlah sesuatu yang mustahil.

Memasuki ruang kabin, suasananya cukup mewah dengan penggunaan kemasan berwarna beige yang terang dan elegan. Rekaan papan pemuka juga kelihatan moden serta intuitif dengan penggunaan butang fizikal untuk sistem penyaman udara.
Pemandu diberikan meter digital bersaiz 12 inci, skrin infotainmen 15 inci dan paparan head-up display bersaiz 14 inci. Terdapat juga pengecas telefon tanpa wayar 50 watt serta sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar. Pendek kata anda rasa berbaloi dengan harga RM 269,800 yang dibayar.
Barisan kedua merupakan tarikan utama Wey G9 dengan penumpang disediakan 2 tempat duduk lounge lengkap dengan fungsi urutan, pengudaraan dan mod Zero Gravity untuk keselesaan maksimum ketika perjalanan jauh.

Setiap tempat duduk menerima dua port USB sendiri bersama saluran pendingin hawa di bahagian atas kepala. Turut tersedia ialah peti sejuk berkapasiti 12.5 liter yang boleh beroperasi sehingga 24 jam dengan julat suhu antara 0 hingga 50 darjah Celsius.
GWM turut menawarkan sebuah skrin hiburan bersaiz 15.6 inci dan alat kawalan jauh untuk 1000 pelanggan terawal. Walaupun begitu Wey G9 tidak menawarkan sistem kawalan sentuhan dengan skrin khusus untuk pelbagai ciri seperti pendingin hawa seperti yang terdapat pada Alphard, Denza D9 atau Zeekr 009.
Barisan ketiga pula masih menawarkan tahap keselesaan yang baik dengan saluran pendingin hawa sendiri, 2 port USB-A dan 2 port USB-C, tempat meletak botol, tirai sisi serta tempat duduk boleh laras. Malah, terdapat juga 2 cagak ISOFIX untuk kemudahan keluarga yang mempunyai anak kecil menjadikan jumlah keseluruhan cagak ialah 4.

Di atas jalan raya, prestasi Wey 80 memang mengagumkan untuk sebuah MPV seberat hampir 2.7 tan. Pecutan 0-100 km/j boleh dibuat dengan hanya mengambil masa sekitar 5.7 saat, mungkin setra dengan kereta sport manakala kelajuan maksimum mencecah 190 km/j.
Tindak balas pedal pendikit juga sangat pantas hasil bantuan motor elektrik namun adakalanya sistem hibrid ini termenung 0.5 saat selepas pedal ditekan. Mungkin sistem sedang memilih samaada motor atau enjin yang perlu beroperasi.
Penggunaan bahan api ketika dipandu pada kelajuan lebuh raya sekitar 120 km/j mencatatkan kira-kira 12.5 km/l manakala pada 110 km/j boleh mencecah antara 14.5 hingga 15 km/l. Angka ini sebenarnya bergantung pada cara pemanduan kita semua.

Pemandu boleh memilih sama ada mod EV atau HEV, mode pemanduan Sport/Eco/Normal selain tetapan stereng boleh ditala samaada Sport, Soft dan Medium. Sistem brek memberikan keyakinan yang baik walaupun perlu memberhentikan sebuah MPV yang besar dan berat, walaupun terdapat sedikit rasa “nose dive” ketika membrek dengan kuat.
Tahap regenerative braking juga boleh dilaraskan mengikut citarasa pemandu dan pada hemat penulis brek regeneratif ditala dengan baik dan tidak mengganggu keselesaan penulis. Aspek keselesaan perjalanan merupakan antara kekuatan terbesar Wey 80.
Suspensinya berjaya menyerap permukaan jalan yang tidak rata dengan sangat baik sambil mengekalkan kestabilan badan yang memuaskan. Namun dari segi pengendalian, ia masih terikat dengan hakikat bahawa Wey G9 ialah sebuah MPV yang tinggi dan besar.

Jika anda terlalu agresif di selekoh, anda akan perasan yang muncung depan Wey G9 akan terkeluar dari laluan selekoh ideal serta olengan cesi yang nyata. Tapi anda perlu realistik kerana ini adalah sebuah MPV yang dipandu oleh chauffeur
Namun secara keseluruhan, tahap keselesaan pemanduan boleh dikatakan setanding dengan Toyota Alphard dan mungkin lebih baik berbanding Denza D9 serta pada masa sama pengendalian setara dengan Vellfire yang sedikit sporti.
Dari sudut keselamatan, Wey G9 dilengkapi enam beg udara lengkap dengan sistem bantuan pemanduan autonomi tahap L2 yang lengkap, kamera 540 darjah serta fungsi parkir automatik. Sistem beg udara turut direka dengan ciri pintar, mengekalkan tekanan selama enam saat sekiranya berlaku insiden terbalik. Model ini juga memperoleh penarafan lima bintang dalam ujian keselamatan C-NCAP.

Walaupun menawarkan banyak kelebihan, penulis berpendapat terdapat beberapa perkara yang boleh diperbaiki untuk Wey G9 ini. Rekaan stereng dan rasa stereng masih belum mencapai tahap premium seperti yang diharapkan oleh penulis.
Barisan kedua juga tidak mempunyai panel kawalan sentuhan khas seperti beberapa pesaing utama. Akses ke barisan ketiga agak kurang mesra pengguna dan agak terhad mungkin untuk penumpang yang kurus disebabkan mereka perlu melalui celahan kusyen barisan kedua.
Manakala ruang kargo standard berkapasiti 233 liter agak terhad apabila semua tempat duduk digunakan. Memang ruang tersebut boleh diperbesar dengan melipat tempat duduk, namun reka bentuk kusyen yang tebal sedikit mengurangkan fleksibiliti ruang simpanan.

Secara keseluruhannya, GWM Wey 80 merupakan sebuah MPV mewah yang sangat lengkap dari segi keselesaan, prestasi dan teknologi. Jika Toyota sering dianggap penanda aras dalam segmen MPV premium, maka Wey 80 boleh dianggap sebagai versi China yang menawarkan lebih banyak teknologi dan prestasi pada harga yang berpotensi lebih kompetitif.







