Buletin

PAMER NOMBOR PLET KERETA LAIN SATU KESALAHAN – JPJ

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menegaskan tindakan mempamerkan nombor pendaftaran kereta lain tetap menjadi kesalahan dan boleh dikenakan tindakan saman.

Ia susulan tular gambar sebuah McLaren dikatakan milik suami kepada seorang pelakon yang menggunakan nombor pendaftaran kenderaan lain pada kenderaannya itu.

Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), Erick Jusiang berkata, pihaknya akan mengeluarkan notis temu siasat terhadap pemilik kenderaan itu.

“Semakan pada sistem MySikap mendapati nombor pendaftaran dan jenis kenderaan berbeza.

“Oleh itu, JPJ akan mengambil tindakan mengeluarkan notis panggilan temu siasat untuk proses siasatan lanjut,” katanya dalam sidang media selepas Op Pemandu Warga Asing (PEWA) di Pejabat JPJ WPKL di sini, hari ini.

Pada Ahad lalu, Harian Metro melaporkan, JPJ Kuala Lumpur mengesahkan nombor plat yang dikatakan milik kenderaan buatan McLaren itu bukan nombor sebenar dan pemilik berdaftar pula orang berbeza.

Jabatan itu menasihati pemilik McLaren tampil membuat laporan.

Susulan itu, lelaki terbabit memuat naik satu klip video menafikan dakwaan dia dipanggil pihak berkuasa berhubung kejadian tular itu.

Katanya, dia hanya menggunakan nombor pendaftaran yang tular itu untuk tujuan mengambil foto kenangan bersama isterinya dan tidak digunakan di atas jalan raya.

Mengulas lanjut, Erick berkata, siasatan lanjut perlu dijalankan sebelum saman dikeluarkan mengikut Seksyen 108(3)(F) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Jika dilihat (gambar yang tular) memang menjadi kesalahan dari segi undang-undang (menggunakan nombor pendaftaran kenderaan lain).

“Sebab itu kita (JPJ) kena panggil untuk siasat sebelum tindakan selanjutnya. Dari sudut ubahsuai pula, perlu melalui proses siasatan juga sebelum tindakan lanjut,” katanya. – HARIAN METRO

Google ads
Back to top button