
KERETA F1 LEWIS HAMILTON, AYRTON SENNA DILELONG, HARGA CECAH RM56 JUTA
McLaren bakal menawarkan lima kereta lumba Formula Satu (F1) bersejarah kepada pengumpul persendirian, termasuk jentera yang pernah dipandu juara dunia Lewis Hamilton, Ayrton Senna dan Jenson Button.
Menariknya, salah sebuah kereta berkenaan turut pernah dipandu pelakon Hollywood, Brad Pitt, ketika menjalani sesi ujian tertutup bagi menjayakan filem F1 The Movie.
Kesemua jentera itu akan dijual menerusi pengedar kereta mewah, Tom Hartley Jr., dengan nilai keseluruhan dijangka mencecah puluhan juta pound sterling.
Walaupun harga rasmi belum diumumkan, setiap kereta dianggarkan bernilai antara £5 juta (RM28 juta) hingga £10 juta (RM56 juta), bergantung pada sejarah perlumbaan dan keistimewaan masing-masing.
Ketua Pegawai Eksekutif McLaren Racing, Zak Brown berkata, keputusan menjual koleksi itu dibuat bagi memastikan jentera berkenaan terus digunakan dan tidak sekadar tersimpan di dalam gudang.

Menurutnya, kereta lumba tersebut dibina untuk dipandu dan berlumba, sekali gus wajar dinikmati oleh pemilik baharu yang menghargai sejarah serta legasi pasukan itu.
Lima kereta ditawarkan merangkumi perjalanan sejarah McLaren selama 32 tahun, bermula dengan dua unit MP4/6A yang digunakan ketika kempen kejuaraan dunia 1991.
Kedua-dua jentera itu menggunakan enjin Honda V12 dan pernah berlumba dengan pemandu Austria, Gerhard Berger, selain diuji oleh legenda Brazil, Ayrton Senna.
Kereta bernombor casis 04 berjaya meraih tempat kedua pada Grand Prix San Marino 1991, ketika McLaren mencatatkan keputusan satu-dua dan memintas seluruh pelumba lain untuk satu pusingan. Sementara itu, casis 07 turut menduduki tempat kedua pada Grand Prix Britain di laman sendiri McLaren.
Kedua-dua kereta itu kekal dalam simpanan McLaren sejak digunakan dalam perlumbaan berkenaan.
Turut disenaraikan ialah McLaren MP4/27A keluaran 2012, yang pernah dipandu juara dunia 2009, Jenson Button, serta menjalani ujian bersama Hamilton, pemenang kejuaraan dunia sebanyak tujuh kali.
Dua lagi jentera dalam koleksi itu ialah kereta yang digunakan Lando Norris secara eksklusif pada musim 2021 dan 2023.
McLaren MCL35M musim 2021 membantu Norris menaiki podium di Imola, Monaco dan Monza. Sementara itu, MCL60A-03 musim 2023 mencatatkan kemenangan berturut-turut di Grand Prix Singapura dan Jepun.
Selepas musim berakhir, jentera 2023 itu turut diuji beberapa pemandu, termasuk rakan sepasukan Norris, Oscar Piastri, serta Mick Schumacher, anak kepada legenda F1, Michael Schumacher.
Pada Jun tahun lalu, Pitt turut berpeluang memandu kereta berkenaan dalam sesi ujian tertutup di Litar Amerika (Circuit of The Americas), Austin, Texas, bagi persediaan pembabitannya dalam filem F1 The Movie.
Pelakon itu dilaporkan mencapai kelajuan sehingga 317 kilometer sejam ketika menguji jentera berkenaan, sekali gus menjadikannya kereta F1 paling moden yang pernah ditawarkan untuk dimiliki secara persendirian.
Tom Hartley Jr. berkata, peluang mendapatkan kereta Grand Prix yang pernah berlumba secara rasmi dan dijual terus oleh pasukan pengeluarnya merupakan sesuatu yang amat jarang berlaku.
Menurutnya, kelima-lima kereta itu akan ditawarkan secara berasingan tanpa tekanan untuk diselesaikan dalam tempoh tertentu kerana keutamaan mereka adalah mencari pemilik yang sesuai.
Sebagai perbandingan, sebuah McLaren MP4-25A yang dipandu Hamilton ketika memenangi Grand Prix Turkiye pada 2010 pernah dijual pada harga £4.8 juta (sekitar RM27 juta) pada 2021.
Sebuah Ferrari 2001 yang pernah dipandu Michael Schumacher pula terjual pada harga AS$7.5 juta (sekitar RM32 juta) di New York pada 2017.
Penjualan terbaharu McLaren itu dijangka menarik perhatian pengumpul kereta eksotik dan peminat sukan permotoran, terutama mereka yang mahu memiliki sebahagian daripada sejarah perlumbaan Formula Satu.







