Buletin

PECAH KERETA DI BANTING: EMPAT SUSPEK BERANI BUAT ‘JOB’ DI SIANG HARI

Kejadian pecah kereta berlaku di premis perkakasan di Banting, melibatkan empat suspek yang mengekori mangsa dari pekan Banting menggunakan dua kenderaan merisaukan orang ramai.

Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang dimuat naik oleh ATKC Ewarehouse di Facebook menunjukkan dua suspek bertindak berani mengumpil pintu kereta mangsa walaupun ramai orang berada di sekitar kawasan tersebut.

Suspek dipercayai memasuki kawasan premis itu sebaik sahaja mangsa memarkir kenderaannya di hadapan premis berkenaan.

Dua cubaan awal untuk mengumpil pintu penumpang gagal, namun cubaan ketiga pada pintu pemandu berjaya.

Suspek kemudiannya mengambil barang-barang milik mangsa sebelum melarikan diri menggunakan Toyota Corolla SEG hitam dan Proton Wira Aeroback kelabu.

Bagaimanapun, mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Banting untuk siasatan lanjut.

Orang ramai turut memberikan pelbagai reaksi terhadap kejadian tersebut, dengan ramai yang hairan kerana walaupun ramai orang di situ, suspek masih berani meneruskan tindakan jenayah tersebut.

“Sakit pula hati tengok, siang hari buat kerja, berani sungguh. Ini kalau dapat tangkap, rasanya teruk kena dengan orang ramai,” kata Muhammad Lukman.

“Siang-siang buat kerja, dah lah ada orang pula tu,” ujar Abdul Muris. –KOSMO! ONLINE

Google ads
Back to top button