EICMA2024: KYMCO LANCAR SKUTER ADV SULUNG – 34.4HP, 40NM
Permintaan terhadap motosikal jenis skuter dengan gaya adventure semakin mendapat perhatian kebelakangan ini sekaligus menyaksikan kebanyakan pengeluar dua roda mula memperkenalkan model baharu bagi segmen ini.
Terbaru, jenama skuter popular dari Taiwan, Kymco turut memperkenalkan Kymco CV-R5 ketika di EICMA 2024 yang berlangsung di Milan, Itali baru-baru ini.
Kymco CV-R5 merupakan taruhan Kymco untuk bersaing dalam segmen skuter ADV bawah 450cc yang semakin popular antaranya Honda ADV 350, SYM ADX TG 500, dan Zontes 368G.
Bagaimanapun, CV-R5 ini menonjol dengan gaya tersendiri terutamanya dengan reka bentuk yang lebih futuristik dan minimalis seakan-akan diinspirasikan dari Husqvarna Norden 901 tapi dalam bentuk skuter.
Ciri mencuri tumpuan adalah penggunaan lampu LED penuh di hadapan, handlebar yang tinggi dan dipadankan bersama ‘handguard’ (pelindung tangan) serta ekzos yang sporty. Selain itu, CV-R5 turut menawrakan ABS. dwi-saluran, fungsi ‘traction-control’ serta TPMS (tyre-pressure monintoring system.
Kemudian, dibawah tempat duduk yang boleh memuatkan sebuah helmet ‘full-face’ itu menempatkan enjin satu silinder 427cc yang berupaya menjana 34.4hp dan 40Nm. Kuasa enjin disalurkan menerusi transmisi CVT namun dengan penggunaan rantai seperti motosikal konvensional berbanding ‘belt’ (tali sawat) seperti skuter lain.
Pakej suspensi dan brek pula terdiri dari fork terbalik (upside/down) dan monoshock di belakang yang dilengkapi dengan PTM (Pivoting Torque Management). Menariknya, CV-R5 ini menawarkan tempat duduk yang 5mm lebih tinggi dari ADV 350 dengan 800mm.
Antara perincian lain termasuk berat 210kg, tayar separa ‘knobby’ berukuran 120/70-15 depan dan 150/70-14 belakang.