Buletin

PEMILIK BUGATTI SECARA PURATA ADA 42 BUAH KERETA. BIASANYA ADA 2 BUGATTI JUGA

Sewaktu memperkenalkan model one-off terbaharunya iaitu La Voiture Noire pada acara Geneva Motor Show 2019 , Bugatti ada mendedahkan satu fakta menarik mengenai para pelanggannya. 

Menurutnya, masih banyak yang boleh diteroka oleh jenama ultra mewah itu kerana pemilik Bugatti secara puratanya mempunyai 42 buah kereta dalam simpanan mereka. Dedah seorang jurucakap Bugatti, biasanya mereka juga memiliki dua buah Bugatti sekali gus. 

Satu lagi perangai pemilik Bugatti ialah mereka beli, tetapi tidak pandu. Sebab itulah lebih daripada separuh daripada 250 unit Chiron yang dijual tidak pernah dilihat berada di atas jalan raya. 

Pertumbuhan jualan Bugatti yang positif itu banyak dibantu oleh jumlah bilionair yang kian meningkat di Amerika Utara, Eropah dan Asia. Di Asia misalnya, rantau ini dijangka mempunyai 1,003 orang bilionair menjelang tahun 2023, naik 27 peratus berbanding tahun 2018.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Bugatti, Stephan Winkelmann memberitahu bahawa pihaknya kini sedang membangunkan model-model yang lebih mampu milik, sesuai dipandu setiap hari dan sekurang-kurangnya separuh elektrik. 

“Apa yang saya lihat ialah kereta yang seimbang dari segi prestasi, keselesaan dan mesra pengguna. Jadi, pecutan dan kelajuan tidak berapa penting untuk model baharu ini,” kata Winkelmann. 

Kenyataan tersebut sememangnya satu konsep yang relatif, Jika dibandingkan dengan Chiron yang berkuasa 1,500hp dan ditawarkan pada harga AS$3 juta (RM12 juta), mana-mana model baharu Bugatti pasti masih lagi mahal.

Ia sekurang-kurangnya berharga AS$500 juta (RM2 juta) dengan kuasa mencecah 800hp. 

Seperti dijangka, Winkelmann enggan mendedahkan sebarang perincian sama ada dari segi kos, chasis atau prestasi model baharu tersebut. 

Google ads
Back to top button