Buletin

BUGATTI RECALL 2 UNIT CHIRON KERANA BEG UDARA – TERBANGKAN TEMPAT DUDUK KE PERANCIS UNTUK DIBAIKI

Bugatti memanggil semula dua unit Chiron di Amerika Syarikat (AS) kerana beg udara sisinya mungkin rosak.

Laporan Panggilan Semula yang dibuat oleh pihak NHTSA itu menyatakan bahawa seorang pekerja di syarikat pembekal beg udara mungkin memasang pelindung haba secara tidak betul.

Sewaktu ujian dalaman dibuat, Bugatti mendapati terdapat kesan terbakar pada beg udara yang terletak berhampiran penjana gas. Implikasi itu dikatakan boleh mengurangkan prestasi beg udara tersebut.

Tipikal Bugatti, panggilan semula hypercar dilakukan dengan begitu bersungguh-sungguh. Ya lah, harga pun juta-juta, takkan nak buat macam recall kereta biasa kan.

Sebagai permulaan, pemilik akan menerima surat. Kemudian Bugatti akan menerbangkan pakarnya untuk membuat penilaian. Harus tahu bahawa jentera itu tidak akan dibaik di AS.

Sebaliknya, ‘rakan rasmi Bugatti’ akan menanggalkan tempat duduk pada Chiron, membungkusnya ke dalam kotak kayu yang direka khas dan dihantar ke Perancis.

Sebaik sahaja sampai di kilang, tempat duduk itu akan diperiksa. Jika terdapat pelindung haba yang tersalah pasang, tempat duduk tersebut akan dihantar ke pembekal dan modul beg udara sisi ditukar.

Selepas siap, ia akan diterbangkan semula ke AS dan dipasang pada Chiron terbabit. Seperti dijangka, perkhidmatan ini diberikan oleh Bugatti secara percuma.  

Tags
Google ads
Back to top button