PEMILIK KENDERAAN DISAMAN MPK RM1,000. PENDUDUK PUAS HATI
Penduduk setempat di Taman Eng Ann dilihat berpuas hati dengan tindakan Majlis Perbandaran Klang (MPK) apabila mengenakan kompaun sehingga RM1,000 terhadap pengguna jalan raya yang meletakkan kenderaan dekat padang Dewan Eng Ann semalam.
MPK dalam kenyataannya berkata, penduduk memberi reaksi positif terhadap tindakan penguat kuasanya apabila menganggap tindakan pengguna jalan raya itu sebagai tidak bertanggungjawab.
“Kompaun yang dikenakan MPK mendapat reaksi positif penduduk setempat yang menganggap tindakan pemilik yang meletakkan kenderaan di atas padang awam sebagai tidak bertanggungjawab dan boleh menyebabkan kerosakan di padang kediaman mereka,” katanya.
Terdahulu, 30 pemilik kenderaan mempersoal tindakan MPK yang mengeluarkan kompaun berjumlah RM1,000 kerana meletakkan kenderaan mereka di padang berkenaan.
Mereka meletakkan kenderaan itu selepas menghadiri pertandingan Taekwando di dewan berkenaan yang dianjurkan peringkat daerah.
Dalam pada itu, MPK turut menggesa orang ramai meletakkan kenderaan masing-masing di lokasi disediakan bagi mengelakkan tindakan kompaun atau tunda dikenakan. – Utusan Online