Buletin

PERANCIS SEDIA KURANGKAN PEGANGAN SAHAM – MAHU KUKUHKAN KEMBALI PAKATAN RENAULT-NISSAN

Perancis dilapor bersedia untuk mengurangkan pegangan sahamnya di dalam Renault bagi membolehkan pakatan dengan Nissan semakin kukuh.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Menteri Kewangan Perancis, Bruno Le Maire semalam di Jepun. Kenyataan itu dikeluarkan selepas Fiat Chrysler (FCA) menarik semula cadangan untuk untuk bergabung dengan Renault.

FCA menyifatkan rundingan penggabungan itu tidak lagi ‘sesuai’ berikutan halangan politik di Paris.

“Kami boleh mengurangkan pegangan saham dalam Renault. Tiada masalah, asalkan Perancis mempunyai sektor automotif yang mantap, kepentingan industri dilindungi serta pakatan di antara Nissan dan Renault semakin kukuh,” kata Le Maire.

Minggu lalu, FCA mengejutkan industri automotif apabila mengemukakan cadangan penggabungan. Sekiranya penggabungan dengan Renault, Nissan dan Mitsubishi itu berjaya, mereka akan membentuk pakatan paling besar di dunia.

Gabungan itu bakal mempunyai jumlah jualan 15 juta kenderaan, jauh lebih besar berbanding Volkswagen Group dan Toyota dengan 10.6 juta.  

“Jelas bahawa kondisi politik di Perancis sekarang tidak membenarkan gabungan ini menjadi realiti,” kata FCA dalam satu kenyataan rasmi.  

Le Maire menyatakan Renault sepatutnnya memberi tumpuan untuk mengukuhkan kerjasama dengan Nissan sebelum mencari rakan baharu. Jika tidak, ia mungkin memberi kesan lebih buruk.

Biarpun begitu, ia terpulang kepada pihak pengurusan kanan Renault dan Nissan untuk mengukuhkan kembali ikatan yang tegang selepas penahanan bekas ketua mereka, Carlos Ghosn beberapa bulan lalu.  

Google ads
Back to top button