Buletin

FCA BATAL HASRAT BERGABUNG DENGAN RENAULT

Fiat Chrysler Automobiles (FCA) dilapor telah menarik semula tawaran penggabungan bernilai AS$35 bilion (RM146 bilion) dengan Renault.

Pengurusan kanan Renault dikatakan gagal untuk mencapai kata sepakat dalam satu mesyuarat. Malah, rakan pakatan Renault, Nissan didakwa enggan menyokong penggabungan tersebut.  

Tindakan Nissan itu menimbulkan keraguan tentang komitmennya untuk meneruskan pakatan sekiranya penggabungan diteruskan.

“FCA yakin dengan rasional penggabunggan yang telah difikirkan secara teliti demi memberi manfaat kepada semua pihak. Namun, keadaan politik di Perancis dilihat tidak menyokong usaha ini,” kata FCA dalam satu kenyataan.

Kerajaan Perancis yang juga merupakan pemegang saham terbesar Renault sebelum ini menyatakan ia tidak akan meluluskan cadangan penggabungan FCA tanpa jaminan Nissan tidak terpinggir.

Ia kemudian mengarahkan undian ditangguhkan, sekali gus membuatkan FCA menarik semula cadangan itu. Kerajaan Perancis sebenarnya mahukan lebih banyak masa untuk memenuhi permintaan lain dan nyata terkejut dengan langkah yang diambil oleh FCA.

Pentadbiran Perancis yang memiliki 15 peratus saham Renault mahu mendapatkan lebih banyak pengaruh dalam gabungan terbut, jaminan peluang pekerjaan yang lebih kukuh serta terma lebih baik untuk pemegang saham Renault.

Para penganalisis sebelum ini memberi amaran mengenai kesan penggabungan. Ini termasuklah pakatan di antara Renault dan Nissan, peranan kerajaan Perancis dan tentangan daripada ahli politik serta pekerja.  

Sejumlah pemegang saham turut melahirkan keraguan. Aktivis pengurus pelaburan CIAM yang berpangkalan di Paris dalam satu surat kepada ahli lembaga pengarah Renault menyatakan bahawa penggabungan itu akan menurunkan nilai Renault. Manakala dividen sebanyak AS$2.8 bilion (RM11.7 bilion) dijangka diterima oleh pemegang saham FCA dan bukannya Renault.

Kegagalan ini nyata memberi kredit kepada Pengerusi FCA, John Elkann yang terdahulu mahu menjalin kerjasama dengan Groupe PSA. Sebaliknya, perkembangan terbaharu ini meletakkan Pengerusi Renault, Jean-Dominique Senard dalam keadaan sukar.

Tags
Google ads
Back to top button