Buletin

RENAULT MEGANE R.S. TROPHY-R LEBUR REKOD HONDA CIVIC TYPE R DI NÜRBURGRING

Sejak daripada ujian MEGANE R.S. lagi penulis dapat rasakan model ini akan membuat sesuatu tentang rekod Honda Civic Type R.

Selepas pelancarannya tiada apa-apa yang berlaku, Civic Type R masih memegang rekod kereta produksi pacuan roda depan terpantas di Nürburgring.

Nampaknya ada sesuatu yang berlaku di belakang tabir dan pada 5 April 2019, Renault MEGANE R.S. TROPHY-R berjaya mencatatkan rekod baharu di Nürburgring dengan catatan masa 7 minit 40.1 saat.

Honda Civic Type R mencatat rekod pada tahun 2017 dengan masa 7 minit 43.8 saat.

Berbanding dengan Civic Type R yang boleh dibeli tanpa had, MEGANE R.S. TROPHY-R ini adalah varian yang bakal ditawarkan dalam beberapa ratus unit sahaja. Renault masih menyimpan jumlah tawaran sebenar.

Varian ini akan dipertonton kepada umum pada 24 Mei depan sempena perlumbaan Formula Satu Grand Prix Monaco.

MEGANE R.S. TROPHY-R dibangunkan dalam masa singkat oleh sejumlah pasukan yang kecil sahaja.

Apa yang jelas ialah MEGANE R.S. TROPHY-R menggunakan enjin 1.8 liter turbo berkuasa 300 hp sama seperti Megane R.S. Trophy yang dilancarkan awal tahun ini.

Walaupun enjin sama, varian ini mempunyai pengurangan berat sehingga 130 kg dan beberapa perubahan pada ciri-ciri aerodinamik dan casis untuk lebih cengkaman di atas jalan raya.

Menurut laman web Motor1.com, MEGANE R.S. TROPHY-R yang digunakan tidak mempunyai kerusi belakang dan dilengkapi rangka keselamatan dan cermin plexiglas.

Honda pada 2017 turut membuat beberapa ubahsuai pada Civic Type R seperti menanggalkan kerusi belakang dan sistem infohibur. Kekurangan berat tersebut ditimbal  balas dengan rangka keselamatan.

Catatan masa di Nürburgring dibuat oleh pemandu ujian Laurent Hurgon, individu sama yang memandu Megane dan mencatatkan rekod kereta pacuan depan terpantas pada tahun 2011 dan 2014.

Berdasarkan maklumat yang dikongsi ada beberapa lagi masih kurang jelas seperti spesifikasi sebenar kereta ini.

Mungkin lebih banyak maklumat akan didedahkan di Monaco nanti.

Kami juga ternanti apa reaksi Honda selepas ini dan berapa lama rekod MEGANE R.S. TROPHY-R boleh bertahan sebelum dileburkan oleh pesaing lain.

Google ads
Back to top button