Buletin

RENAULT KOLEOS, ‘SAUDARA DEKAT’ DENGAN NISSAN X-TRAIL

Di dalam negara kita terdapat sebuah SUV yang kurang mendapat perhatian berbanding SUV buatan Jepun dan Korea Selatan seperti Honda CR-V, Nissan X-Trail, Kia Sportage dan Hyundai Tucson.

SUV yang dimaksudkan ialah buatan Perancis iaitu Renault Koleos. SUV ini sudah dipasarkan sejak generasi pertama lagi.

Koleos generasi pertama diperkenalkan pada tahun 2012 pada harga RM224,000.

Iya, harganya memang tinggi untuk sebuah SUV yang menggunakan enjin 2.5 liter TR25 dengan transmisi CVT dan pacuan AWD disumberkan daripada Nissan.

Renault Koleos 2WD 2014

Kisah Koleos di negara kita memang menarik, pada tahun 2014 TC Euro Cars memperkenalkan model facelift pada harga RM186,000.

Harga yang jauh lebih murah itu di antara lain disebabkan penukaran pacuan AWD kepada 2WD.

Harga tersebut walau bagaimanapun masih kurang menarik untuk mendapatkan ramai pelanggan.

Memandangkan Koleos adalah SUV global, Renault melancarkan model pengganti yang didedahkan oleh Carlos Ghosn semasa Pameran Kenderaan Beijing 2016.

Renault Koleos 2016

TC Euro Cars tidak menunggu lama, pada September 2016 Renault Koleos dilancarkan di negara kita.

Harganya? RM173,000 untuk model 2WD dengan enjin 2.5 liter QR25DE dengan transmisi CVT Xtronic yang sama seperti Nissan X-Trail T32 generasi ketiga.

Selain berkongsi enjin, Koleos dan X-Trail turut menggunakan platform yang sama iaitu Renault-Nissan Alliance CMF-CD atau Common Module Family-CD.

Di dalam perihal skala ekonomi, pakatan Renault-Nissan memang handal, platform yang sama turut digunakan pada Renault Espace (MPV), Talisman (sedan mewah), Scenic (crossover), Kadjar dan Nissan Qashqai (SUV sederhana).

Renault Koleos 2019

Setelah beberapa tahun di pasaran kini tiba masa untuk facelift pertengahan kitaran produk.

Renault Koleos 2019 tampil dengan beberapa perubahan luar dan dalam termasuk pengenalan enjin baharu.

Walaupun kurang popular di pasaran tempatan, jualan Koleos di peringkat global pada tahun 2018 sahaja berjaya mencatatkan angka 100,000 unit.

Dua enjin baharu Koleos 2019 ialah diesel 1.8 liter Blue dCi 150 berkuasa 150 PS khusus untuk pacuan 2WD dan 2.0 liter Blue dCi 190 dengan output kuasa 190 PS.

Kuasa sebenar enjin diesel terletak pada daya kilas di mana enjin 1.8 liter mempunyai kuasa maksimum 340 Nm manakala enjin 2.0 liter dengan kuasa maksimum 380 Nm.

Transmisi CVT X-Tronic ditawarkan sebagai ciri standard untuk kesemua varian dan enjin Blue dCi 190 dilengkapi pacuan All Mode 4×4.

Beberapa perubahan luar yang dibuat ialah lampu utama LED Pure Vision kini standard untuk kesemua varian, bamper depan dan rim baharu, kemasan krom dan skid plate lebih besar.

Bahagian dalaman pula dikemaskan dengan riasan satin dengan bahan sentuh lembut yang lebih baik. Keselesaan kerusi belakang turut ditambah baik dengan tambahan dua larasan ke belakang untuk lebih keselesaan.

Renault Koleos 2019

Secara fizikalnya penampilan Koleos 2019 lebih kepada menaikkan seri supaya kekal relevan dengan peredaran semasa.

Dari segi keselamatan pula, Koleos 2019 menerima fungsi pengecaman pejalan kaki untuk Sistem Pembrekan Kecemasan Aktif (AEBS). Ini adalah tambahan kepada ciri standard kawalan jelajah aktif yang diperkenalkan tahun lalu.

Harga baharu Renault Koleos untuk pasaran United Kingdom akan didedahkan pada Julai dengan penghantaran kepada pelanggan pada Oktober depan.

Secara lazimnya, pengenalan Renault Koleos untuk pasaran tempatan akan menyusul beberapa bulan selepas itu.

BACA: RENAULT MEGANE R.S. TROPHY-R LEBUR REKOD HONDA CIVIC TYPE R DI NÜRBURGRING

BACA: INI SKRIN RENAULT CLIO BAHARU, CUKUP BESAR TAK BOSSKU?

BACA: PENCABAR CIVIC TYPE-R DAH TIBA! RENAULT MEGANE R.S CUMA RM279K!

Google ads
Back to top button