
PESAWAT BATIK AIR BERGERAK SENDIRI, LANGGAR JET BRIDGE DI BALI
Sebuah pesawat Batik Air yang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai, Bali, melanggar sebuah jet bridge (jejantas menghubungkan pintu masuk pesawat dengan balai pelepasan).
Menurut laporan Kompas, akibat pelanggaran tersebut, bahagian sayap kiri pesawat dan jejantas tersebut mengalami kerosakan kecil tetapi masih mampu beroperasi.
“Kejadian berlaku kira-kira pukul 9.30 pagi apabila pesawat Batik Air itu telah pun berhenti sepenuhnya. Begitupun, secara tiba-tiba pesawat bergerak ke hadapan yang menyebabkannya berlanggar dengan jejantas tersebut.
“Para penumpang masih belum turun dari pesawat dan sedang menunggu pengumuman untuk meninggalkan pesawat,” kata Pengurus Komunikasi dan Undang-Undang PT Angkasa Pura I, Taufan Yudhistira.

PT Angkasa Pura I merupakan syarikat yang mengendalikan Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai.
Dalam pada itu, Coconut melaporkan, Ketua Polis Denpasar, Avitus Panjaitan berkata, pesawat tersebut bergerak ke hadapan kira-kira empat ke enam meter meskipun selepas juruterbang membuat pengesahan kepada kru darat bahawa ia telah berhenti sepenuhnya.
Pesawat dengan kod penerbangan ID 6505 yang berlepas dari Jakarta itu membawa 119 penumpang dan empat kru penerbangan.
Difahamkan, pesawat itu kini ditahan seketika bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa lapangan terbang untuk menjalankan siasatan.
Tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden itu. – agensi