Artikel Pilihan

INI SENARAI ENJIN YANG DIHASILKAN OLEH YAMAHA.

Kita mungkin mengenali jenama Yamaha sebagai pembuat motosikal. Ketika kecil dulu, penulis merasa hairan kenapa ada jenama Yamaha? Motor dia memang mahal ke. Apa yang kita tidak tahu ialah, Yamaha juga adalah pakar menghasilkan alatan muzik dan mereka menghasilkan alatan muzik lebih awal daripada motosikal.

Kepakaran mereka dalam bidang muzik menjadikan produk ketiga Yamaha adalah unik kerana mereka menggabungkan seni dalam produk mereka. Untuk pengetahuan pembaca, Yamaha juga adalah pakar dalam menghasil dan membekalkan enjin istimewa kepada pengeluar kereta. Sebagai contoh Yamaha menghasilkan bunyi enjin dan ekzos yang sangat sedap pada Lexus LFA

Antara enjin yang dibekalkan oleh Yamaha ialah:

1. Toyota 4AGE- enjin yang tekenal melalui model Toyota AE86 Trueno ini dihasilkan oleh Yamaha terutama bahagian kepala enjin yang menggunakan mekanisme DOHC untuk mengawal pembukaan 16 injap. Dalam keadaan standard, enjin ini menghasilkan 112 kuasa kuda dan 131Nm tork dari enjin bersaiz 1600cc.

Dalam versi yang lebih berkuasa, Yamaha turut membekalkan kepala enjin 4AGE 20 injap kepada Toyota bagi menghasilkan 155 kuasa kuda dan 162Nm tork. Walaupun menggunakan 1600cc yang sama, angka ini dicapai dengan menggunakan sistem VVT, nisbah mampatan yang lebih tinggi iaitu 10.5:1 serta throttle body bagi setiap silinder

2. Ford SHO V6 – SHO membawa maksud Super High Output yang dihasilkan oleh Yamaha dengan rekaan V6 pada sudut 60 darjah dan dipasang secara melintang dalam ruangan enjin. Enjin ini dihasilkan dalam 2 versi samaada 3000cc ataupun 3200cc dengan mekanisme DOHC dan panjang rongga kemasukan boleh laras.

Enjin 3000cc menghasilkan 220 kuasa kuda pada 6200RPM dan 271Nm tork. Varian 3200cc pula menghasilkan 220 kuasa kuda pada 6000RPM dan 292Nm tork. Yamaha menghasilkan enjin untuk Ford dari tahun 1989 sehingga 1995.

3. Toyota 2UR-GSE- merupakan enjin V8 5000cc yang dihasilkan oleh Yamaha untuk model Lexus IS F, RC F, GS F, LC 500 dan IS500. Dengan rekaan DOHC 32 injap high flow rekaan Yamaha, injap titanium, sistem suntikan D-4S, sistem VVT-iE pada injap kemasukan, dan VVT-i pada injap ekzos enjin ini menghasilkan 475 kuasa kuda dan 575Nm tork

4. Volvo B844S – Yamaha membekalkan enjin 4400cc V8 ini kepada Volvo dan dikeluarkan dari kilang mereka di Jepun. Namun rekaan enjin ini dibekalkan oleh Volvo berdasarkan rekaan DOHC, 32 injap dan silinder disusun pada sudut 60 darjah. Nisbah mampatan enjin pula ditetapkan pada 9.6:1. 10.4:1 dan 12:1 mengikut kehendak Volvo

B merujuk kepada bensin (petrol), 8 menunjukkan bilangan silinder, 44 merujuk kepada saiz enjin dan S merujuk kepada Suction (Normal Aspirated). Enjin ini menghasilkan antara 311 sehingga 641 kuasa kuda dengan tork berada dalam julat 440 sehingga 819Nm tork. Varian paling berkuasa dipasang pada supercar Noble M600

5. Toyota 1LR-GUE – Supercar LFA menggunakan enjin yang dibangunkan khas untuknya iaitu 1LR-GUE, 4805cc V10 yang dihasilkan dengan gabungan aloi aluminium, aloi magnesium dan aloi titanium. Konfigurasi V10 dipilih kerana ia menghasilkan bunyi yang lebih sedap dari V8 dan kurang bergegar berbanding V12

Setiap silinder menggunakan throttle body elektronik yang sendiri serta sistem pelinciran dry sump. Sebanyak 40 injap enjin dihasilkan dengan menggunakan titanium dan rocker arm dihasilkan dengan rintangan yang sangat rendah (diamond like coating)

Yamaha diberi tugas menala enjin ini bermula dari rongga kemasukan sehinggalah pada ekzos dengan penglibatan divisi Yamaha Music agar bunyi yang dihasilkan sedap didengar. Jurutera menyifatkan bunyi enjin ini sebagai “roar of an angel”. Enjin ini menghasilkan 552 kuasa kuda dan 480Nm tork. Ia boleh diperah sehingga 9000 RPM.

6. Ford SHO V8- direka dan dihasilkan dengan kerjasama antara Ford dan Yamaha bagi kegunaan Ford Taurus. Dengan sesaran 3400cc V8 dan nisbah mampatan sehingg 10:1, enjin ini menghasilkan 235 kuasa kuda dan 312 Nm tork. Ia merupakan enjin pertama V8 Ford yang menggunakan aluminium serta timing chain

Proses penghasilan enjin ini kompleks dengan Ford menghasilkan blok enjin dari fasiliti aluminium di Ontario sebelum dihantar ke Jepun untuk proses seterusnya. Walaupun Yamaha mencadangakan yang enjin ini dibuat berdasarkan rekaan enjin V6 SHO, namun Ford mahukan enjin ini dibuat berdasarkan enjin Duratec. Akhirnya enjin ini ada masalah pemasaan injap yang menyebabkan ia perlu dipanggil balik oleh Ford untuk pembaikan

7. Toyota 2ZZ-GE – Yamaha diminta oleh Toyota untuk menghasilkan enjin yang berkuasa tinggi pada RPM tinggi tanpa melibatkan penggunaan turbo. Jadi Yamaha mengambil enjin 1ZZ bagi menghasilkan enjin serba baru yang diberi nama 2ZZ-GE dengan satu mekanisme VVTL-i atau Variable Valve Timing & Lift intelligent sama seperti mekanisme VTEC

Jika enjin 1ZZ-FE menghasilkan kuasa antara 120-140 kuasa kuda dan 171Nm tork, enjin 2ZZ-GE yang lebih agresif menghasilkan sehingga 180 kuasa kuda pada 7600 RPM dan 176Nm tork pada 6800 RPM. Bagi unit yang dipasang pada Corolla Sportivo, ia menghasilkan 190 kuasa kuda dan 181Nm tork. Bagi enjin untuk kegunaan JDM, ia ditala sehingga 187 kuasa kuda.

Bagi Lotus Exige, enjin 2ZZ-GE ini menghasilkan 190 kuasa kuda bagi versi NA. Tapi tak cukup dengan 190 kuasa kuda, Lotus memasang sistem supercaj pada enjin 2ZZ-GE bagi menghasilkan 220 kuasa kuda, 243 kuasa kuda dan 250Nm tork bagi varian 250 Cup dan paling berkuasa dipasang pada varian 260 Cup yang menghasilkan 250 kuasa kuda dan 265 Nm tork dengan gabungan supercaj dan intercooler.

Walaupun hanya 1800cc dan dipasang pada Elise dan Exige, berat kedua dua supercar ini biasanya kurang dari 1000kg. Sebagai contoh Elise Cup 260 hanyalah seberat 862kg sahaja dan Lotus Sprint beratnya hanyalah 798kg sahaja. Ia mampu memecut 0-100 dalam masa 3.8 saat sahaja dan halaju maksima ialah 243km/jam

Jadi ini ialah antara enjin yang dihasilkan oleh Yamaha si pembuat motosikal, piano dan juga pakar dalam menghasilkan enjin.

Google ads
"
"
Back to top button