Buletin

PESAWAT AIR FRANCE GUNA MINYAK MASAK TERPAKAI TERBANG KE KANADA

Air France-KLM menerbangkan pesawat Airbus A350 dari Paris ke Montreal menggunakan bahan api bio.

Ia sebagai usaha syarikat penerbangan terbabit mengadaptasi penggunaan bahan bakar dengan pelepasan karbon rendah.

Penerbangan Air France 342 itu berlepas dari lapangan terbang Charles de Gaulle dengan pesawat yang digerakkan dengan campuran 16% bahan bakar penerbangan lestari (sustainable aviation fuel atau SAF).

Bahan itu dihasilkan syarikat penapisan minyak Total di Perancis, menggunakan minyak masak terpakai.

Penerbangan tersebut menandakan usaha sama dua syarikat tersebut ke arah mengurangkan pelepasan karbon di dalam sistem pengangkutan udara.

Bahan bakar yang dihasilkan daripada biojisim, atau bahan bakar sintetik boleh dikitar semula, berpotensi mengurangkan pelepasan karbon.

Bermula tahun hadapan, penerbangan dari Perancis diwajibkan menggunakan 1% SAF.

Ia berikutan matlamat Kesatuan Eropah (EU) untuk mencapai 2% penggunaan SAF pada 2025 dan 5% pada 2030 di bawah dasar hijau blok itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Air France-KLM, Ben Smith berkata, syarikat penerbangan mempunyai “tanggungjawab besar” mengurangkan pelepasan karbon.

Bagaimanapun, syarikat penerbangan tradisional berusaha mengecualikan penerbangan jarak jauh mereka dengan alasan syarat SAF yang hanya terpakai di Eropah itu mendedahkan mereka kepada persaingan asing yang tidak adil.

Kenyataan itu menimbulkan kemarahan syarikat penerbangan tambang rendah termasuk Ryanair, Wizz Air dan easyJet yang menulis kepada EU pada Mac, meminta supaya peraturan itu dikenakan ke atas semua penerbangan dari Eropah. –reuters/agensi

Google ads
Back to top button