
BATIK AIR X LEAPMOTOR C10: SUV ELEKTRIK UNTUK PENUMPANG KELAS PERNIAGAAN
Batik Air terus memperkukuhkan komitmennya terhadap kelestarian dan keselesaan perjalanan dengan memperkenalkan semula perkhidmatan eksklusif Pemindahan Terminal Peribadi untuk penumpang Kelas Perniagaan.
Menariknya, perkhidmatan ini kini ditingkatkan menerusi kerjasama strategik bersama Leapmotor Malaysia – jenama Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) pertama di bawah naungan Stellantis Malaysia.
Leapmotor C10, model elektrik sepenuhnya yang pertama dari Leapmotor untuk pasaran global, kini menjadi tulang belakang perkhidmatan ini.
SUV elektrik segmen-D ini bukan sahaja menawarkan jarak pemanduan bebas emisi sejauh 424KM (mengikut piawaian WLTP), malah turut membawa gabungan teknologi moden, reka bentuk elegan dan ciri mesra pengguna yang menjadikannya sesuai sebagai kenderaan premium bagi penumpang kelas atasan.

Malaysia dipilih sebagai lokasi pertama di Asia Tenggara untuk memperkenalkan Leapmotor C10, sekali gus memberi peluang eksklusif kepada penumpang Batik Air menikmati pengalaman perjalanan yang lebih menarik.
Dihasilkan hasil kolaborasi antara Stellantis dan Leapmotor, model ini mengutamakan keselesaan dan fleksibiliti – terbukti dengan anugerah berprestij seperti French Design Award 2024 dan US MUSE Design Award 2024.
Ruang kabinnya menampilkan tempat duduk ergonomik 3D, sementara penumpang belakang turut menikmati ruang kaki dan kepala yang luas, dengan tempat duduk boleh baring.
Perkhidmatan ini disediakan secara eksklusif untuk penumpang Kelas Perniagaan Batik Air yang berlepas atau tiba melalui Terminal 1 KLIA.
Pemindahan antara Bangunan Terminal Utama dan Bangunan Satelit dilakukan dengan selesa, menggunakan laluan khas antara Pintu G1 dan Pintu C1.
Dengan penambahan lima unit Leapmotor C10 khusus untuk perkhidmatan ini, masa menunggu kini lebih singkat, sekali gus memberikan pengalaman perjalanan premium yang lebih efisien.
Perkhidmatan ini juga melengkapi pemindahan menggunakan bas yang disediakan oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) sementara menunggu pemulihan perkhidmatan aerotrain.