Buletin

PESAWAT MD-87 TERHEMPAS. 21 KRU DAN PENUMPANG SEMPAT SELAMATKAN DIRI

Sebuah pesawat peribadi yang membawa 21 penumpang dan anak kapal dilaporkan terhempas ketika cuba berlepas dari sebuah lapangan terbang di Texas, Amerika Syarikat (AS).

Bagaimanapun, kesemua penumpang dan anak kapal berjaya menyelamatkan diri sebelum pesawat terbabit terbakar.

Beberapa gambar dipaparkan di televisyen menunjukkan anggota bomba cuba memadamkan pesawat yang terbakar.

Dilaporkan, pesawat peribadi itu terhempas di seberang landasan berhampiran sebuah kawasan yang dipenuhi dengan pokok dan semak.

Hampir seluruh badan kapal terbang itu musnah dalam kebakaran dengan hanya tinggal bahagian ekor pesawat serta asap tebal meliputi kawasan tersebut.

“Nasib baik kesemua 21 penumpang termasuk tiga anak kapal berjaya dipindahkan dengan selamat dari pesawat enjin berkembar sebelum ia terbakar sepenuhnya,” jelas Jabatan Bomba Katy dalam kenyataan.

Menurut pihak berkuasa, pesawat McDonnell Douglas MD-87 yang berlepas dari Lapangan Terbang Eksekutif Houston di Bookshire menuju ke Boston apabila ia terhempas.

Beberapa media tempatan melaporkan pesawat itu membawa sekumpulan peminat baseball untuk menyaksikan perlawanan play-off antara Houston Astros dan Boston Red Sox.

Sementara itu, pegawai berkata, dua orang mengalami cedera ringan dan telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan. – UTUSAN

Google ads
Back to top button