Buletin

ULAR MELINGKAR DALAM KOKPIT, PESAWAT TERPAKSA MENDARAT CEMAS

Sebuah pesawat peribadi terpaksa melakukan pendaratan cemas selepas seekor ular menyusur pada bajunya.

Mirror UK melaporkan, kejadian berlaku ketika Rudolph Erasmus memandu pesawat itu dan berasa sejuk di belakangnya.

Pada mulanya, Erasmus menyangka ia adalah kerana botol air sebelum menyedari dia mempunyai ‘penumpang’ tambahan tidak diingini ketika pesawat itu berada di ketinggian 3,353 meter.

Rupa-rupanya, ‘penumpang’ itu adalah ular tedung Cape yang menyusur di dalam pesawat, sebelum ke kerusi juruterbang di kokpit.

Satu gigitan daripada ular tedung Cape adalah maut dan boleh membunuh seseorang dalam masa 30 minit.

Erasmus, dari Afrika Selatan, tahu dia perlu bertindak cepat untuk menghalang reptilia itu memasuki tempat duduk penumpang pesawat Beechcraft Baron 58 itu dan mencetuskan panik.

“Sejujurnya, seolah-olah otak saya tidak boleh fikir apa yang berlaku.

“Saya berasa sejuk semacam pada baju saya.

“Ketika saya menoleh ke kiri dan melihat ke bawah, saya melihat ular tedung dengan kepalanya ke belakang di bawah tempat duduk,” kata Erasmus kepada portal BBC ketika menceritakan pengalaman buruknya.

Selepas berbincang, juruterbang itu mengambil keputusan berterus terang mengenai punca pesawat itu perlu melakukan pendaratan kecemasan.

“Saya sudah memaklumkan penumpang dengan berkata, dengar ular itu berada di dalam pesawat, ia di bawah tempat duduk saya, jadi mari kita cuba dan mendarat secepat mungkin,” katanya.

Erasmus berkata, penumpang terperanjat selepas mendengar pengumuman itu dan pesawat dalam perjalanan dari Bloemfontein ke Pretoria, melakukan pendaratan cemas di bandar Welkom.

Erasmus dipuji sebagai wira oleh Pesuruhjaya Penerbangan Awam Afrika Selatan, Poppy Khosa, menurut laman News24. – Agensi

Google ads
Back to top button