Buletin

AKSI BERANI TERBANGKAN PESAWAT KECIL DALAM DUA BUAH TEROWONG. KELAJUAN CECAH 241KM/J

Seorang juruterbang mencipta rekod dunia Guinness World Records apabila menerbangkan sebuah pesawat ringan melalui dua terowong di sebuah lebuh raya di Istanbul, Turki.

Dario Costa, 41, mencipta rekod tersebut menggunakan pesawat  Zivko Edge 540 V2 dalam masa kurang 44 saat melibatkan laluan sejauh 2.3 kilometer (km) pada kelajuan 241km sejam.

Menurut lelaki yang berasal dari Itali itu, dia sudah lama telah mengimpikan untuk melakukan aksi berani mati tersebut.

“Saya tidak pernah menerbangkan pesawat di dalam terowong sebelum ini dan tiada sesiapa pernah melakukannya. Jadi, ia membuatkan saya berfikir sama ada aksi itu akan dapat dilakukan dengan lancar.

“Saya berasa amat lega dan gembira. Bagi saya, ini merupakan satu lagi impian yang menjadi kenyataan,” kata Costa.

Ketika menerbangkan pesawat tersebut di dalam terowong, Costa perlu berhati-hati bagi memastikan dia tidak melanggar dinding konkrit atau apa-apa bahagian lain kerana nyawanya boleh melayang. Costa hanya mempunyai jarak kira-kira 4 meter antara hujung setiap sayap pesawatnya dengan dinding konkrit.

Situasi paling bahaya adalah ketika dia perlu memasuki kawasan udara terbuka di antara dua terowong tersebut sehingga menyebabkan pesawatnya berada dalam keadaan tidak stabil kerana tiupan angin lintang.

“Semuanya berlaku dengan pantas. Apabila saya keluar dari terowong pertama, pesawat mula bergerak ke kanan kerana  angin lintang. Saya memberi fokus untuk menstabilkan kembali pesawat dan memasuki terowong kedua pula,” katanya. – Agensi 

Google ads
Back to top button