Artikel Pilihan

POLIS BRITAIN GUNAKAN MOTOSIKAL ELEKTRIK TIGA RODA – BUAT MERONDA DALAM BANDAR OKEY LA KOT

Polis Britain tak lama lagi bakal meronda menggunakan motosikal elektrik tiga roda dalam satu inisiatif yang disokong penuh oleh Jabatan Pengangkutan dan Inovasi UK.

Motosikal ini dihasilkan dengan kerjasama Mahle Powertrain dan White Motorcycle Concepts (WMC). Ia asalnya ialah Yamaha Tricity 300 dan menggunakan enjin pembakaran dalaman biasa. Enjin tersebut kemudiannya digantikan dengan motor elektrik keluaran Mahle.

Pengeluar motor elektrik tersebut menggunakan teknologi simulasi termaju untuk memastikan motor yang digunakan bersesuaian dengan casis asal Tricity 300 tersebut. Mereka juga dalam proses membangunkan motor traction dan sistem pengecas untuk kenderaan mobiliti baharu ini.

Jarak operasi motosikal baharu ini dianggarkan sekitar 100 kilometer. Boleh la kot untuk tugas rondaan dan mengeluarkan saman parking. Kalau untuk tugas pengiring ataupun mengejar pesalah trafik mahu rasanya habis bateri tengah jalan ni.

WMC dan Mahle sebelum ini bekerjasama dengan polis Northamptonshire dalam menghasilkan motosikal hibrid tiga roda. Motosikal yang dibangunkan itu juga mempunyai persamaan dengan motosikal elektrik WMC yang berjaya memecah rekod kelajuan darat.

Kedua motosikal tersebut menggunakan teknologi yang dinamakan venturi duct yang merupakan lohong udara yang memanjang dari hadapan ke belakang motosikal untuk mengurangkan seretan selain meningkatkan lagi prestasi.

Motosikal baharu ini walaupun nampak kurang ganas dijangka mampu memberikan alternatif dan lebih praktikal dalam memberikan perkhidmatan dalam komuniti. Ia juga sebagai kajian untuk teknologi yang lebih hijau khususnya dalam operasi mobiliti jabatan.

Google ads
Back to top button