Buletin

PROTON PINTAS BYD, JENAMA EV PALING LARIS PADA JANUARI

Proton muncul sebagai jenama kenderaan elektrik (EV) paling laris di Malaysia pada Januari 2026, sekali gus memintas pengeluar antarabangsa, BYD.

Berdasarkan data pendaftaran terbaharu oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Proton merekodkan 3,276 unit pendaftaran EV bagi bulan berkenaan, jauh mengatasi BYD dengan 913 unit dan Zeekr sebanyak 489 unit.

Penganalisis RHB Investment Bank, Iftaar Hakim Rusli, berkata lonjakan itu didorong peralihan pantas pengguna kepada model EV pemasangan tempatan (CKD) yang masih menikmati insentif cukai sehingga akhir 2027.

Beliau berkata, strategi penetapan harga lebih kompetitif serta sokongan insentif kerajaan memberi kelebihan jelas kepada Proton dalam menawan pasaran EV tempatan.

“Permintaan terhadap EV pemasangan tempatan semakin kukuh kerana pengguna melihat nilai jangka panjang dari segi harga dan kos pemilikan.

“Model e.MAS 5 keluaran Proton misalnya menawarkan harga yang lebih berdaya saing dalam segmennya,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Iftaar berkata, pesaing terdekat dalam segmen nasional, Perodua, pula hanya menerima 205 tempahan EV pada Januari berikutan harga model yang lebih tinggi berbanding tawaran Proton.

Beliau berkata, selain kejayaan dalam segmen EV, prestasi keseluruhan Proton turut mencatatkan peningkatan ketara.

Syarikat itu merekodkan lonjakan jualan sebanyak 46 peratus berbanding bulan sebelumnya kepada 19,750 unit, iaitu paras tertinggi dalam tempoh 15 tahun.

Permintaan tinggi terhadap model Saga dan S70 juga menjadi pemacu utama peningkatan berkenaan, sekali gus melonjakkan penguasaan pasaran Proton kepada 30.7 peratus, angka tertinggi sejak 2012.

“Secara keseluruhan, Proton dan Perodua kini menguasai 71 peratus pasaran automotif tempatan pada Januari 2026, ketika jenama antarabangsa berdepan penyusutan jualan yang ketara.

“Jualan dilaporkan merudum 67 peratus manakala jatuh 72 peratus berbanding bulan sebelumnya, susulan berakhirnya kempen promosi agresif hujung tahun. Bagaimanapun, jumlah keseluruhan jualan industri (TIV) bagi Januari menyusut 29 peratus kepada 64,298 unit,” katanya.

Iftaar berkata, kelembapan itu dijangka bersifat sementara berikutan faktor bermusim termasuk kekurangan hari bekerja sepanjang musim perayaan Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri.

“Kami menjangkakan pemulihan jualan bermula suku kedua 2026, disokong peningkatan pengeluaran dan kemungkinan penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang boleh merangsang sentimen pengguna serta pembiayaan automotif,” katanya. – Berita Harian

Google ads
Back to top button