Artikel Pilihan

10 TRENKUASA TERBAIK WARDS 2026. 2 JE ENJIN PETROL????

Setiap tahun, WardsAuto akan mengumumkan senarai Wards 10 Best Engines & Propulsion Systems, satu pengiktirafan berprestij yang menilai trenkuasa terbaik dalam industri automotif. Anugerah ini diberikan pada trenkuasa enjin pembakaran dalam (diesel / petrol), sistem hibrid dan juga elektrik.

Untuk edisi terkini, penilaian dibuat terhadap model tahun 2025 yang telah digunakan dan kekal relevan menjelang tahun 2026. Kriteria penilaian bukan sekadar angka kuasa kuda semata-mata, tetapi turut mengambil kira penghantaran kuasa, tahap kebisingan dan getaran (NVH), kecekapan bahan api, teknologi kejuruteraan serta nilai keseluruhan kepada pengguna.

Apa yang menarik ialah senarai kali ini jelas menunjukkan peralihan besar industri automotif ke arah elektrifikasi yang semakin dominan. Jika satu ketika dahulu senarai sebegini didominasi enjin pembakaran dalaman tradisional, kini sistem hibrid dan elektrik penuh mengambil tempat utama. Namun begitu, enjin petrol berprestasi tinggi masih mempunyai wakil tersendiri.

1. Antara yang paling menonjol ialah BMW M5 generasi baharu yang menggunakan enjin 4.4 liter V8 turbo berkembar digandingkan dengan sistem plug-in hybrid (PHEV) M Hybrid powertrain . Gabungan ini menghasilkan 717 kuasa kuda dengan 1000Nm tork, tetapi dalam masa sama menawarkan keupayaan pemanduan elektrik untuk jarak terhad.

Dengan gandingan gear automatik 8 kelajuan, trenkuasa 4.4 V8 turbo berkembar PHEV ini membuktikan bahawa prestasi tinggi dan elektrifikasi boleh bergerak seiring tanpa mengorbankan karakter sporty.

2. Dalam kategori enjin pembakaran dalaman tulen, Chevrolet Corvette ZR1 mencuri perhatian dengan enjin 5.5 liter V8 twin-turbo yang menghasilkan kuasa melebihi empat angka horsepower. Ini adalah antara enjin V8 paling ekstrem pernah dihasilkan untuk kereta produksi arus perdana. Dengan 1064hp dan 1122Nm tork, ini membuktikan enjin petrol berprestasi tinggi masih mampu memukau.

3. Era muscle car moden pula diterjemahkan dalam bentuk elektrik menerusi Dodge Charger Daytona. Model ini menggunakan EV sepenuhnya dengan bateri 100kWh, menawarkan pecutan segera dengan tork maksimum tersedia seawal tekan pedal. Ia menjadi simbol bagaimana jenama berprestasi Amerika mula menyesuaikan diri dengan masa depan tanpa meninggalkan identiti agresif mereka.

4. Bagi segmen pikap, Ford F-150 versi hibrid 3.5 liter V6 dengan gear 10AT turut tersenarai. Sistem ini menggabungkan enjin EcoBoost bersama motor elektrik untuk memberikan keseimbangan antara kuasa penundaan, keupayaan kerja berat dan kecekapan bahan api. Ia menunjukkan bahawa elektrifikasi bukan hanya untuk kereta bandar, tetapi juga untuk kenderaan utiliti.

5. Dalam kategori sedan kompak, Honda Civic Hybrid e:HEV dengan dua motor elektrik dan enjin 2.0 liter menerima pujian kerana kecekapan luar biasa serta pengalaman pemanduan yang lancar. Sistem e:HEV Honda terkenal dengan operasi yang halus dan responsif, menjadikannya antara hibrid paling matang dalam kelasnya.

6. Segmen SUV elektrik pula diwakili oleh Hyundai Ioniq 9, sebuah SUV tiga baris tempat duduk yang memfokuskan kepada jarak pemanduan jauh dan kuasa tork tinggi dari bateri 110kWh. Sistem pendorong elektriknya direka untuk memberi keseimbangan antara prestasi dan keselesaan keluarga.

Ia ditawarkan dalam varian RWD 160kW dan AWD yang menawarkan satu motor tambahan 66kW pada gandar depan. Bagi varian AWD prestasi tinggi, ia dipadankan dengan 2 motor elektrik yang menjana 157kW

7. Bagi SUV mewah bersaiz penuh, Lexus LX 700h membuktikan bahawa kenderaan off-road premium juga boleh menerima sentuhan elektrifikasi. Enjin V6 turbo yang digabungkan dengan motor elektrik menghasilkan tork tinggi dan penghantaran kuasa yang lebih linear, sambil mengekalkan ketahanan yang sinonim dengan jenama Lexus.

Enjin V6 3400cc ini menjana 457 kuasa kuda dan 790Nm tork sebelum disalurkan kepada semua roda menerusi transmisi 10 kelajuan dan sistem pacuan semua roda

8. Dalam dunia EV premium berprestasi tinggi, Lucid Gravity turut tersenarai. Sistem pendorongnya menawarkan gabungan kuasa besar dan kecekapan aerodinamik yang membantu mencapai jarak pemanduan kompetitif dalam segmen SUV mewah elektrik dari bateri sebesar 123kWh

9. Mercedes-AMG E53 versi plug-in hybrid membuktikan bahawa prestasi AMG kini memasuki era elektrifikasi secara serius, yang menawarkan enjin 3000cc 6 silinder sebaris dan dipadankan dengan transmisi 9 kelajuan automatik

Gandingan sistem hibrid PHEV dengan turbo memberikan 604 kuasa kuda, 750Nm tork dan juga jarak perjalanan elektrik untuk pemanduan jarak dekat

10. Bagi pasaran US, model Leaf adalah model termurah yang semakin matang dari segi prestasi dan efisiensi. Leaf generasi baru menawarkan rekaan baru, ciri-ciri moden dan trenkuasa moden yang sesuai untuk pasaran mampu milik

Ia ditawarkan dengan sistem pengecas berganda 150kW lebih pantas, bateri sejukan cecair dan motor elektrik sehingga 214 kuasa kuda

Secara keseluruhan, senarai Wards ini memberikan gambaran jelas tentang hala tuju industri automotif menjelang 2026. Elektrifikasi bukan lagi pilihan tetapi ia sudah menjadi pilihan utama. Namun begitu, kejuruteraan enjin pembakaran dalaman masih belum pupus, malah terus berkembang dalam bentuk yang lebih ekstrem dan canggih.

Google ads
Back to top button