Buletin

JSPT CADANG PEMASANGAN KAMERA PAPAN PEMUKA PADA KERETA POLIS

Semua kereta peronda akan diwajibkan memasang kamera papan pemuka atau dashcam bagi memudahkan polis dalam tugasan di lapangan.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata cadangan tersebut telah dihantar kepada Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.

“Kita dah sampaikan cadangan itu melalui surat rasmi kepada Ketua Polis Negara.

“Ia (dashcam) sangat disyorkan bagi membantu polis dan juga masyarakat serta memudahkan sama ada untuk kesan punca berlaku kemalangan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas meninjau Op Selamat 25 Tahun Baru Cina 2026 di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol, di sini hari ini.

Tambah Muhammed Hasbullah, langkah berkenaan bertujuan meningkatkan keselamatan anggota serta memantapkan penguatkuasaan di lapangan.

Katanya, cadangan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) juga melibatkan kesemua aset agensi dengan fokus utama memastikan setiap kenderaan polis dilengkapi dashcam.

Jelas beliau, dengan pemasangan dashcam, kejadian di jalan raya, termasuk kemalangan atau insiden berkaitan keselamatan dapat direkod.

Langkah itu juga ujar beliau penting bagi memperkukuh bukti siasatan, memudahkan tindakan terhadap kesalahan trafik dan meningkatkan integriti penguatkuasaan di lapangan.

“Setakat ini cadangan terbabit masih dalam peringkat pertimbangan sebelum sebarang pelaksanaan rasmi dilaksanakan,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas nahas membabitkan sebuah kereta dan kereta peronda polis di Jalan Ipoh-Lumut berhampiran Puncak Jelapang dekat Ipoh, Selasa lalu.

Kemalangan menyebabkan seorang kanak-kanak perempuan tiga tahun maut dan polis meminta pihak yang mempunyai rakaman dashcam untuk tampil membantu siasatan ekoran ketiadaan aksesori itu dalam kenderaan peronda polis yang terlibat. –TVS.

Google ads
Back to top button