
RAJA KERETA MALAYSIA JUAL MASERATI GHIBLI SPORTS TERIMA MATA WANG DIGITAL MNU. TRANSAKSI PERTAMA DI MALAYSIA
Datuk Calvin Yap Kim Heng daripada CHY Autoworld Sdn. Bhd. menjual Maserati Ghibli Sports dengan menerima pembayaran mata wang digital Meta Nirvana Up (MNU) 300,000 kira-kira RM310,000.
Maserati Ghibli merupakan model sama digunakan Deckard Shaw dalam filem Fast & Furious 7.
Presiden CHY Autoworld yang lebih dikenali sebagai Raja Kereta Malaysia berkata ia merupakan transaksi pertukaran kereta MNU pertama di negara ini.
“Kami menerima MNU untuk semua kenderaan termasuk Tesla. Elon Musk telah menjadikan mata wang kripto berkembang pesat.
“Semua hartanah, kapal pesiar dan jet peribadi kami juga boleh menggunakan transaksi MNU berikutan ia merupakan mata wang rantaian awam terkini yang akan digunakan dalam banyak tempat jualan di seluruh dunia.
“Kami merupakan ejen hartanah kepada pemaju terkemuka di Malaysia seperti Farlim Holdings, Mah Sing Property Bhd, Akisama Groups, Binastra Group dan GCE Developments Sdn, Bhd.
“Kami menerima MNU dan semua mata wang kripto daripada para pembeli sebagai ejen serta membayar dalam mata wang Malaysia kepada para pemaju,” katanya dalam satu kenyataan.
Pemilik jentera mewah Itali itu, Datuk Seri Lee Han Keat daripada Metaverse Group Sdn. Bhd. berkata Nirvana Meta merupakan permainan RPG blockchain awam pertama di dunia dan sangat popular di serata dunia.
“Semakin ramai yang mula memberi perhatian terhadap industri permainan. Dunia meta tidak hanya wujud dalam alam maya.
“Ia akan menjadi internet fizikal, merealisasikan dunia maya. Kemunculan GameFi telah membawa peluang pembangunan terhadap bidang teknologi,” katanya.
GameFi merupakan gabungan permainan video dan kewangan decentralised.
Selain, Raja Kereta Malaysia, syarikat tersenarai dalam Nasdaq Amerika Syarikat (AS), Net Savings Link Inc (NSAV) turut mengiktiraf dan menerima mata wang digital MNU untuk semua jualan dan urus niaga. – NST