
TINDAKAN PANTAS PENUNGGANG MOTOSIKAL SELAMATKAN NYAWA KANAK-KANAK
Seorang penunggang motosikal menjadi wira apabila berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak di sebuah taman perumahan.
Dalam klip video berdurasi 22 saat yang tular di media sosial, kelihatan penunggang motosikal itu sedang menunggang di sebatang jalan. Namun, secara tiba-tiba seorang kanak-kanak yang menaiki walker berwarna merah jambu meluncur laju menuruni laluan berbukit.
Dengan pantas dia turun dari motosikal dan mengejar kanak-kanak itu yang berpusing di dalam walker berkenaan. Malah, dia sempat menbuang beg sandangnya sebelum cuba menyambut kanak-kanak berkenaan. Jika lambat sedikit sahaja, pasti kanak-kanak malang tersebut akan jatuh dan mungkin mengalami kecederaan serius.
Tidak lama kemudian, muncul seorang wanita yang mungkin ibunya berlari ke arah lelaki dan kanak-kanak itu. Dia kemudian pantas memeluk kanak-kanak berkenaan dan berterima kasih kepada lelaki itu.
Lokasi dan masa kejadian bagaimanapun tidak dapat dipastikan. – FB Kosmo Online