
BYD MULA JUAL EV DI JEPUN 2023
Pengeluar kenderaan elektrik utama dari China, BYD mengumumkan bahawa ia akan mula menjual kereta penumpangnya di Jepun bermula tahun depan.
Syarikat itu menjangkakan mendapat saingan sengit daripada pengeluar tempatan dan Barat.
Pengumuman itu dilakukan oleh BYD Jepun dalam satu sidang media di Jepun. Pihaknya merancang untuk memperkenalkan model SUV, kereta kompak dan sedan, namun enggan mendedahkan harganya.
“Kami ingin menawarkan kenderaan ini pada harga mampu milik, pada masa yang sama memenuhi keperluan pasaran,” jelas BYD Japan.

SUV elektrik Atto 3 yang telah dilancarkan di China pada Februari lalu dan mampu menawarkan jarak sejauh 485 dengan sekali caj akan melakukan debut di Jepun pada Januari 2023.
Manakala model kompak dan sedan dijadual dilancarkan pada awal tahun depan dengan jarak pemanduan sekitar 500km.
Perkembangan itu hadir ketika Mercedes-Benz Japan mengumumkan bahawa ia akan meningkatkan penawaran model EV daripada dua kepada lima tahun ini. Audi Japan pula menggandakan jumlah model kepada lapan berbanding tahun lalu.

Menurut Persatuan Pengimport Kenderaan Jepun, jumlah kereta import meningkat daripada 5.9 peratus pada tahun 2014 kepada 40.6 peratus tahun lalu. Angka itu banyak disumbangkan oleh model EV.
Pengeluar Jepun dilihat cuba untuk bersaing apabila Nissan dan Mitsubishi memperkenalkan sebuah model EV pada Jun. Toyota juga menawarkan perkhidmatan sewa dengan kadar tetap untuk EV keluarannya.
Dalam tempoh Januari hingga Jun 2022, BYD berada di tempat kedua dalam perkongsian pasaran EV global apabila berjaya menjual sekitar 320,000 unit EV. Ia mula mendapat rentak di Jepun menerusi bas-bas elektrik yang mewakili sekitar 70 peratus permintaan domestik.
- BACA: BYD DOLPHIN. RUPA MACAM JAZZ, CAJ 5 MINIT DAPAT 150KM, HARGA BERMULA RM65K
- BACA: RIVIAN PENGELUAR KENDERAAN KETIGA PALING BERNILAI DI DUNIA. LEPASI VW, BYD DAN GM
- BACA: BYD TIDAK LAGI HASILKAN KERETA ICE BERMULA MAC 2022. FOKUS KEPADA EV DAN PHEV SAHAJA
- BACA: BYD KINI MENDAHULUI TESLA DALAM SEGMEN KENDERAAN TENAGA BAHARU (NEV) DI CHINA


