Buletin

RASMI: ART OF SPEED KEMBALI TAHUN INI, UMUM LIMA KOLABORASI BAHARU!

Art Of Speed kembali bagi tahun 2025 dan cara Kustom & Counter Culture itu menjanjikan penganjuran yang lebih besar dan meriah tahun ini yang akan berlangsung dari 26 hingga 27 Julai ini.

Ketika sesi pelancaran AOS2025 yang bertempat di Bukit Kiara Equestrian pada Khamis, founder AOS, Asep Ahmad Iskandar mengumumkan bahawa edisi kali ini menyaksikan pihak AOS akan berkolaborasi bersama lima jenama.

Kolaborasi tersebut adalah seperti berikut:

  • AOS x Hot Wheels Collection
  • AOS x FK (Fung Keong)
  • AOS x High Cultured
  • AOS x XOCKS
  • AOS x MOONEYES

Kolaborasi AOS dan Hot Wheels akan menawarkan dua kereta Hot Wheels edisi terhad menerusi Porsche 911 Carrera RS dan Porsche 911 GT3 Collector Edition 2025.

Menariknya, model Porsche 911 Carrera RS itu diposisikan ke sebelah kiri berbanding kanan seperti kebanyakan kereta Hot Wheels sedia ada.

Dalam pada itu, kolaborasi bersama jenama ikonik Fung Keong pula melahirkan kasut edisi terhad yang bergaya.

Kerjasama dengan High Cultured pula melahirkan beberapa rangkaian pakaian streetwear bagi meraikan AOS sementara kolaborasi bersama XOCKS pula merangkumi produk stokin dengan design istimewa.

Sementara itu, AOS dan MOONEYES memperkenalkan barisan produk istimewa bagi meraikan ulang tahun ke-10 kerjasama antara kedua-dua jenama ini di Malaysia.

Seperti kebiasaan, edisi kali ini juga akan menyaksikan penyertaan tetamu jemputan antarabangsa antaranya founder MOONEYES, Shige Suganuma, Hot Wheels Product Designer dari Amerika Syarikat, Brendon Vetuskey, founder Distinguised Gentleman’s Ride, Mark Hawwa dan puluhan lagi tetamu khas.

AOS juga membawakan tiga motosikal kustom yang diterbangkan khas dari Jepun dan Australia yang terdiri dari BMW R18 Ground Zero oleh Yuichi Yoshizawa dari Custom Works Zon, Harley-Davidson Knuckehead kustom oleh Masa Sugihara dari Luck MC dan Harley-Davidson Flathead kustom oleh Ben Forster dari Benflathead.

Dalam pada itu, AOS dan MotorTakaful.com bersama-sama memeriahkan World of Wheels (WOW) di Hall A.

AOS turut menyedikan studio outdoor dan indoor untuk tujuan pengambilan gambar yang lebih baik bagi kereta dan motosikal. Menurut AOS, pihak NoEqual akan bertanggungjawab mengendalikan fotografi sesi indoor.

Menu utama kembali terarah di Hall C yang menempatkan Official Hot Wheels Collectors Convention Malaysia (HWCCM) buat kali ketiga.

Seperti biasa, juara bagi kategori motosikal dan kereta bagi segmen Show & Shine di Hall A akan berpeluang memenangi lawatan ke Yokohoma Hot Rod Custom Show 2025 yang akan berlangsung Disember ini di Yokohoma, Jepun.

Untuk maklumat lebih terperinci dan pembelian tiket boleh layari artofspeedmy.com.

Google ads
Back to top button