
TRIUMPH TRACKER, THRUXTON 400 MENDARAT DI MALAYSIA – DARI RM27,900
Beberapa tahun lepas, rasanya agak mustahil untuk kita dengar atau terbayang motosikal dari jenama Triumph Motorcycle mampu dijual pada harga bawah RM30 ribu.
Bagaimanapun, memasuki tahun 2026, Triumph Motorcycles Malaysia buat kejutan dengan melancarkan Tracker 400 dan Thruxton 400 di Art of Speed 2026, masing-masing dengan harga RM27,900 dan RM29,900 sahaja (tidak termasuk cukai jalan dan insurans).
Triumph Tracker 400

Tracker 400 merupakan cubaan pertama Triumph menghasilkan model berinspirasikan flat tracker dalam segmen 400cc.
Sekali imbas, Tracker 400 tampak sama seperti model Speed 400 dan Scrambler 400 X namun terdapat beberapa ciri yang berbeza.
Pertamanya handlebar lebih lebar, tempat duduk lebih rata, panel nombor perlumbaan di sisi, visor kecil serta rekaan belakang yang lebih ringkas memberikan imej motosikal yang nampak lasak tetapi masih sesuai digunakan setiap hari.

Menggerakan Tracerk 400 ini adalah enjin satu silinder 398cc dengan sistem penyejukan cecair yang menghasilkan 41.4hp pada 9,000rpm dan 37.5Nm pada 7,500rpm. Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi enam kelajuan lengkap dengan klac assist dan slipper.
Bahagian suspensi pula menggunakan fork USD 43mm dengan jarak gerak 140mm, dipadankan monoshock belakang dengan pelarasan pra-beban (preload). Sistem brek terdiri daripada cakera hadapan 300mm bersama brek radial empat pot serta cakera belakang 230mm.
Turut melengkapkan pakej ialah rim 17 inci yang dipadankan dengan tayar Pirelli MT60 RS, tangki bahan api 13 liter, ketinggian tempat duduk 805mm dan berat basah sekitar 173kg.
Triumph Thruxton 400

Melengkapkan pelancaran dua model di Art Of Speed 2026 adalah Triumph Thruxton 400.
Menjadikan Thruxton 1200 sebagai inspirasi utama, Thruxton 400 menawarkan reka bentuk yang hampir sama namun dipadankan dengan pakej yang lebih mampu milik. Thruxton 400 ini berkongsi platform sama seperti Tracker 400 sekaligus menawarkan 41.4hp dan 37.5Nm.

Bagaimanapun, Thruxton 400 lebih sporty dengan penggunaan handlebar jenis clip-on lantas mewujudkan gaya menunggang yang lebih agresif.
Meskipun berbeza rupa namun Tracker 400 dan Thruxton 400 ini berkongsi pakej elektronik yang sama antaranya, ABS, ride-by-wire, traction control, meter analog dan digital serta port pengecas USB C.
GALERI: TRIUMPH THRUXTON 400 DAN TRACKER 400





















