
RON95: KPDN PERKENAL PERATURAN BAHARU APRIL INI, SEKAT PEMBELIAN KERETA BERPENDAFTARAN ASING
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperkenalkan peraturan baharu di bawah Seksyen 6, Akta Kawalan Bekalan 1961 yang melarang ‘pembelian’ RON95 bersubsidi oleh kenderaan berpendaftaran asing yang dijangka berkuat kuasa mulai April.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata di bawah peraturan sedia ada iaitu Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, larangan hanya terhad kepada ‘penjualan’ petrol RON95 bersubsidi kepada kenderaan berpendaftaran asing.
“Ia bermakna larangan hanya kepada penjualan yang akan menyebabkan tindakan hanya akan diambil terhadap pengusaha stesen minyak, tetapi tidak kepada pemilik atau pembeli yang menggunakan kenderaan pendaftaran asing.
“Justeru melalui peraturan baharu ini kelak, larangan dan tindakan undang-undang boleh diambil terhadap kedua-dua pihak iaitu stesen minyak dan juga pemilikatau pengguna kenderaan berpendaftaran asing.

“Sasaran kita peraturan ini akan siap dan boleh berkuat kuasa pada 1 April 2026,” katanya pada Waktu Pertanyaan bagi Jawap Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (BN-Kalabakan) mengenai tindakan terhadap pembelian RON95 bersubsidi oleh kenderaan berpendaftaran asing.
Armizan berkata, sesi libat urus sedang dijalankan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan agensi sempadan bagi penyelarasan prosedur operasi standard (SOP) penguatkuasaan,” katanya.
Dalam pada itu, Armizan berkata, pelaksanaan program subsidi bersasar BUDI MADANI RON95 berada di bawah seliaan Kementerian Kewangan sebagai peneraju dasar, manakala KPDN bertanggungjawab mengawal selia pelaksanaan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan penguatkuasaan di peringkat runcit.
“Selaras dengan pelaksanaan penuh Budi RON95 pada 30 September 2025, mekanisme penggunaan MyKad diperkenalkan bagi memastikan hanya warganegara layak berumur 16 tahun ke atas dan memiliki lesen memandu sah dapat membeli RON95 pada harga RM1.99 seliter.
“Pendekatan ini bertujuan memastikan subsidi dinikmati golongan sasar serta mengekang ketirisan termasuk aktiviti penyeludupan bahan api di kawasan sempadan,” katanya menjawab mengenai langkah komprehensif kerajaan bagi menjamin keberkesanan pengurusan subsidi petrol selepas pelaksanaan BUDI MADANI RON95 serta membanteras penyeludupan petrol di sempadan Tawau-Indonesia.
Armizan berkata, antara langkah penguatkuasaan yang dilaksanakan termasuk pemeriksaan berkala di stesen minyak, larangan penjualan RON95 kepada kenderaan berdaftar asing, kawalan pembelian luar tangki, operasi bersepadu bersama agensi keselamatan serta pemantauan transaksi melalui penggunaan kad armada (fleet card) dan analisis data.
Berhubung data penguatkuasaan, beliau berkata, bagi kawasan Sabah termasuk Tawau dan Kalabakan, bilangan kes berkaitan RON95 meningkat daripada lima kes pada 2023 kepada 13 kes pada 2024 dan 34 kes pada 2025, dengan nilai rampasan melonjak kepada RM40,993 tahun lalu.
“Pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 masih baharu, namun pengalaman penyasaran subsidi diesel sebelum ini menunjukkan trend penurunan ketirisan. Kerajaan optimis pendekatan berasaskan data dan sistem analitik mampu menutup ruang manipulasi subsidi
“Kementerian akan sentiasa memperkasa ketangkasan pemantauan dan penguatkuasaan untuk memastikan objektif penyasaran subsidi RON95 tercapai khususnya melalui operasi bersepadu, OPS TIRIS dan kerjasama pendekatan serata negara melalui Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan (KITA GEMPUR),” katanya. – Harian Metro
- BACA: HARGA DENZA D9 2026 MELONJAK 15% – BERMULA RM299K; UNIT 2025 BEBAS CUKAI TINGGAL TERHAD
- BACA: GERAN RM10 JUTA BANTU 5,000 PEMILIK KERETA NASIONAL LAMA BELI KERETA BAHARU
- BACA: SPPF MALAYSIA LANCAR TEKNOLOGI PERLINDUNGAN CAT GENERASI BAHARU DARI JEPUN
- BACA: BRIXTON STORR 500 LANCAR DI MALAYSIA FEBRUARI INI – 47HP, 43NM









