Buletin

SEJUTA NISSAN JUKE – TERIMA KASIH, ANDA ADALAH LEGENDA

Sekarang ini SUV kompak yang top ialah Honda HR-V kemudian Mazda CX-3. Toyota C-HR pun mungkin masuk carta tetapi masih baru lagi.

Tidak kira apa nama modelnya, SUV kompak yang telah lama berada di pasaran dan mencetus tarikan dalam segmen ini ialah Nissan Juke.

Walaupun sebelum itu terdapat beberapa model lain seperti Suzuki Vitara, Daihatsu Terios dan juga Honda HR-V generasi pertama, Juke tetap istimewa kerana reka bentuknya yang unik.

Walaupun kini sudah begitu banyak saingan dalam segmen SUV kompak, Juke terus relevan apabila ia masih dikeluarkan di kilang Nissan yang terletak di Sunderland, United Kingdom.

Juke sudah berusia lapan tahun dan tahukah anda berapa jumlah produksi SUV kompak ini?

Satu juta. Jika dihitung secara purata, satu Juke baharu dikeluarkan di kilang setiap 105 saat.

Walaupun dah berusia lapan tahun, Nissan tetap memberikan perhatian kepada Juke apabila model 2018 tampil dengan beberapa perubahan.

Juke unit kesejuta yang dikeluarkan di Sunderland adalah varian Tekna berwarna Vivid Blue.

Kilang di Sunderland pula memang berjasa kepada Nissan apabila jutaan kereta telah dihasilkan. SUV Qashqai dikeluarkan pada tahun 2006 dan lebih tiga juta telah dihasilkan.

Nissan Micra pula sebanyak 2.4 juta manakala Primera pula ialah 1.5 juta.

Berdasarkan statistik, warna paling Juke paling popular di pasaran Eropah ialah hitam dan begitu juga warna untuk interior yang boleh dipesan khas.

Jualan Juke masih laku keras, pada tahun lalu sebanyak 95,000 unit telah terjual di Eropah. Model 2018 dijangka terus mendapat sambutan baik apabila telah dikemaskini dengan beberapa perubahan di antaranya gril V motion, lampu utama dengan efek gelap dan pilihan roda aloi dari 16 inci hingga 18 inci.

Dengan produksi sudah mencecah sejuta unit dan sambutan pula kekal cemerlang, sampai bilakah Nissan ingin menjual model ini?

Jika diikutkan, Nissan sudah mempunyai model SUV kompak Kicks dan setakat ini ia belum dipasarkan di UK. Model ini sebenarnya telah dilancarkan pada tahun 2016 lagi.

Asal barang jadi duit, jual sajalah memandangkan pengguna UK masih gemarkan Juke ini. Legenda. 

BACA: HONDA CIVIC TYPE R PIKAP – INI BUKAN CUBAAN, INI BETUL-BETUL!

BACA: NISSAN SERENA NISMO INI BOLEH DIPESAN DENGAN KERUSI RECARO & TAYAR POTENZA RE003

Google ads
Back to top button